XAYSANA Keopimpha bergambar bersama kereta mewah miliknya sebelum dia ditahan kerana mengedar dadah. FOTO Agensi
XAYSANA Keopimpha bergambar bersama kereta mewah miliknya sebelum dia ditahan kerana mengedar dadah. FOTO Agensi
AFP

Bangkok: Raja dadah dari Laos yang popular di media sosial kerana sering mempamerkan kekayaannya, termasuk deretan kereta mewah sebelum ini, dihukum penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah di sini, semalam.

Xaysana Keopimpha atau lebih dikenali sebagai Mr X dianggap pengedar dadah terbesar Asia Tenggara, ditangkap di lapangan terbang Bangkok, Januari tahun lalu.

Sebelum kegiatannya terbongkar, lelaki itu popular di media sosial kerana sering bergambar dengan selebriti terkenal serta menunjukkan kekayaannya di media sosial.

Lelaki itu juga dipercayai mempunyai hubungan dengan beberapa individu berpengaruh dan selebriti di Thailand yang membantu melindungi aktiviti haramnya.

Keopimpha didapati bersalah menjadi dalang utama sindiket penyeludup dadah jenis Methamphetamine yang dihasilkan di Myanmar sebelum diseludup ke Thailand melalui Laos.

Mahkamah sebelum ini menjatuhkan hukuman mati terhadap lelaki itu tetapi mengurangkan hukuman kepada penjara seumur hidup selepas dia mengaku bersalah atas beberapa tuduhan termasuk menyeludup 1.2 juta pil Methamphetamine pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 2:33 AM