AFP

Miami: Seorang maut, manakala nasib 99 penghuni lagi masih belum diketahui selepas sebahagian blok pangsapuri 12 tingkat runtuh berhampiran Pantai Miami, Florida, Amerika Syarikat (AS), semalam.

Pengarah Jabatan Polis Miami-Dade, Freddy Ramirez berkata, pihaknya belum memperoleh sebarang perkembangan makluman mengenai nasib 99 penghuni yang berkemungkinan berada dalam bangunan itu ketika ia runtuh.

"Ia mungkin atas sebab yang berbeza-beza, namun operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan," katanya pada sidang media.

Sementara itu, Penolong Ketua Bomba dan Penyelamat Miami-Dade, Ray Jadallah berkata, pihaknya tiba di tempat kejadian jam 1.30 pagi sebelum membantu mengeluarkan 35 orang dari bangunan itu.

Berdasarkan siasatan awal, beliau berkata, kira-kira 55 unit pangsapuri terjejas akibat runtuhan berkenaan. Sekurang-kurang 18 warga Amerika Latin dilaporkan hilang dalam insiden berkenaan, setakat ini, menurut konsulat negara terbabit.

KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO AFP
KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO AFP

Mereka membabitkan tiga warga Uruguay, Argentina (sembilan) dan Paraguay (enam).

Pangsapuri itu didiami penduduk tetap bersama penyewa serta penghuni bermusim, namun pihak berkuasa belum dapat memastikan jumlah sebenar orang berada dalam bangunan terbabit ketika kejadian.

Datuk Bandar Surfside, Charles Burkett, mengesahkan sekurang-kurang seorang mangsa maut dalam insiden berkenaan.

Komisioner Sally Heyman bagi County Miami-Dade pula memaklumkan, kira-kira 14 individu berjaya diselamatkan daripada timbunan runtuhan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 9:25 AM