Jemaah bersolat di kawasan terbuka selepas masjid musnah berikutan perbalahan dua komuniti di Digana, Kandy, Sri Lanka. FOTO REUTERS
Jemaah bersolat di kawasan terbuka selepas masjid musnah berikutan perbalahan dua komuniti di Digana, Kandy, Sri Lanka. FOTO REUTERS
Agensi

Colombo: Tentera dan polis Sri Lanka meningkatkan kawalan keselamatan di masjid menjelang waktu solat Jumaat susulan kebimbangan rusuhan anti-Islam yang setakat in mengakibatkan tiga kematian mungkin merebak ke seluruh negara.

Kebanyakan perniagaan dimiliki orang Islam ditutup semalam sebagai protes terhadap serangan oleh kumpulan Sinhalese di Kandy, kata polis dan penduduk.

Rusuhan yang bermula Isnin lalu selepas seorang lelaki Sinhalese beragama Buddha maut akibat kecederaan susulan serangan oleh orang Islam minggu lalu, menghancurkan lebih 200 perniagaan, kediaman dan kenderaan milik orang Islam.

Kekacauan semakin memuncak selepas seorang seorang Muslim ditemui mati dalam bangunan yang terbakar pada Selasa dengan darurat diisytiharkan di seluruh negara untuk mengekang keganasan.

Ketua tentera Mahesh Senanayake yang melawat Kandy, semalam, menjanjikan kawalan ketenteraan ditingkatkan di masjid di seluruh negara.

“Penduduk Muslim bimbang dijadikan sasaran pada hari ini. Kami akan memastikan keselamatan mereka,” katanya dipetik pegawai tentera.

Menurut polis, tiada kejadian besar yang berlaku sepanjang malam Jumaat di Kandy, destinasi pelancongan popular kira-kira 115 kilometer di timur ibu negara, Colombo. Perintah berkurung turut dikuatkuasakan di bandar itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 5:24 PM