Keadaan perniagaan di Colombo dikawal ketat pihak keselamatan selepas darurat diisytihar oleh kerajaan negara itu. FOTO AFP
Keadaan perniagaan di Colombo dikawal ketat pihak keselamatan selepas darurat diisytihar oleh kerajaan negara itu. FOTO AFP
AFP

Colombo: Presiden Sri Lanka, Maithripala Sirisena mengumumkan siasatan terhadap rusuhan anti-Islam itu yang memaksa pihak berkuasa mengisytiharkan darurat di negara itu.

Kenyataan dikeluarkan pejabatnya berkata, panel tiga hakim bersara akan menyiasat kegagalan undang-undang dan ketenteraman di Kandy yang mengakibatkan tiga kematian, 200 kecederaan selain kemusnahan lebih 200 perniagaan serta kediaman orang Islam dalam rusuhan empat hari yang akhirnya terkawal pada Khamis lalu.

Sebelas masjid juga dirosakkan atau dimusnahkan sepenuhnya kumpulan penduduk Sinhalese, tetapi polis berkata keadaan kini terkawal selepas tentera dikerahkan mengawal.

Perintah berkurung di daerah yang terletak 115 kilometer di timur Colombo, akhirnya ditarik balik pada subuh ini tetapi tentera masih membuat rondaan bersama polis.

Kumpulan minoriti Islam Sri Lanka mengadakan solat Jumaat, semalam, di bawah kawalan ketat tentera di seluruh negara susulan kebimbangan serangan baru dilancarkan.

Bagaimanapun, tiada kejadian berlaku semalam, kata pihak berkuasa.

Ratusan sami Buddha dan aktivis melakukan bantahan di Colombo, semalam, mengutuk serangan anti-Islam dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pelakunya.

Hampir 150 orang termasuk dalang kekacauan perkauman itu sudah ditahan polis. Suspek utama adalah Amith Weerasinghe, lelaki Sinhalese Buddha yang terkenal aktivis anti-Islam yang lantang menyuarakan pandangan di media sosial.

Kerajaan mengisytiharkan darurat, Selasa lalu, selepas kekacauan menjadi semakin teruk susulan penemuan mayat seorang lelaki Islam dalam bangunan yang terbakar, sehari selepas seorang lelaki Sinhalese mati akibat kecederaan dalam serangan oleh sekumpulan lelaki Muslim.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Mac 2018 @ 5:25 PM