Rihanna. FOTO Agensi
Rihanna. FOTO Agensi
AFP

PENYANYI Rihanna mendesak kerajaan seluruh dunia komited memastikan pembiayaan pendidikan golongan miskin ketika mengambil bahagian dalam persidangan antarabangsa di Senegal, hari ini.

Penyanyi yang dilantik sebagai duta bagi Perkongsian Global untuk Pendidikan itu dijadual menyertai rundingan Perkongsian Global untuk Pendidikan dihoskan Presiden Senegal Macky Sall dan pemimpin Perancis, Emmanuel Macron di Dakar, hari ini.

Personaliti keempat tertinggi Twitter dengan 86 juta pengikut itu, menggunakan media sosial untuk menggesa Macron, Perdana Menteri Britain Theresa May dan Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull menetapkan tahap pembiayaan tertentu.

Dalam tweet kepada Macron, Rihanna yang bertemu dengannya di Paris Julai lalu, menggesa pemimpin itu komited menyalurkan AS$313 juta (RM1.2 bilion) terhadap usaha itu.

Menurut Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, 264 juta kanak-kanak dan remaja yang sepatutnya bersekolah, tidak mendapat pendidikan kerana kemiskinan, konflik dan halangan sosial termasuk berat sebelah terhadap wanita.

Persidangan Dakar yang menyatukan kerajaan dan sektor swasta, bertujuan mengumpul AS$ 3.1 bilion (RM12 bilion) dalam tempoh tiga tahun akan datang untuk menyokong pendidikan bagi 870 juta kanak-kanak.

Rihanna, kelahiran Barbados yang popular dengan lagu 'Diamonds' dan 'Only Girl (In the World)’ menubuhkan Yayasan Clara Lionel yang mengumpul dana termasuk biasiswa untuk belajar di universiti Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 10:39 PM