Anggota penyelamat membanjiri sebuah bangunan yang runtuh bagi membongkar runtuhan mencari mangsa yang terselamat. - Foto  AFP
Anggota penyelamat membanjiri sebuah bangunan yang runtuh bagi membongkar runtuhan mencari mangsa yang terselamat. - Foto AFP
AFP

PASUKAN penyelamat meneruskan usaha membongkar runtuhan bangunan bagi mencari mangsa yang terselamat akibat gempa bumi 7.1 magnitud yang melanda Mexico semalam, menyebabkan sekurang-kurangnya 233 terbunuh.

Gerakan menyelamat tertumpu di sebuah sekolah rendah di selatan Mexico City bagi mengeluarkan sejumlah murid yang didapati masih hidup di bawah runtuhan.

Seramai 21 murid dan lima guru Sekolah Rendah Enrique Rebsamen itu disahkan terbunuh dan pasukan penyelamat berusaha mengesan 30 lagi murid serta kira-kira 10 guru.

Sebuah bangunan di Mexico City yang ranap akibat gempa bumi 7.1 magnitud semalam. - Foto AFP
Sebuah bangunan di Mexico City yang ranap akibat gempa bumi 7.1 magnitud semalam. - Foto AFP

Semalam, anggota penyelamat yang menggunakan pengimbas haba mendapati murid terbabit dipercayai masih hidup walaupun sudah tertimbus kira-kira 36 jam.

“Mereka hidup!” jerit sukarelawan, Enrique Garcia, 37, sebaik alat berkenaan mengesan murid terbabit.

“Kami dengar bunyi orang mengetuk dinding beberapa kali dan ada yang bertindak balas terhadap cahaya lampu suluh.

“Namun, kami sukar untuk sampai kepada mereka kerana mangsa terperangkap antara dua kepingan konkrit.”

Sehingga petang hari ini, 11 kanak-kanak dan sekurang-kurangnya seorang guru sudah berjaya diselamatkan.

Sementara itu, ada mangsa yang terperangkap berjaya diselamatkan selepas menghantar pesanan melalui WhatsApp kepada keluarga.

Ribuan orang awam turut menyertai usaha mencari mangsa selain membantu menyediakan makanan serta air untuk mereka yang terbabit dalam usaha pencarian.

Berita berkaitan

21 murid antara 248 korban gempa bumi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 7:39 PM