Perbicaraan 26 defendan kes skim cepat kaya Ponzi di Bejing, hari ini, termasuk Pengerusi Yucheng Holdings, Ding Ning (kanan) yang ditahan tahun lalu. - Foto Xinhua
Perbicaraan 26 defendan kes skim cepat kaya Ponzi di Bejing, hari ini, termasuk Pengerusi Yucheng Holdings, Ding Ning (kanan) yang ditahan tahun lalu. - Foto Xinhua
AFP

Beijing: Dua eksekutif kanan syarikat skim cepat kaya dikenali sebagai Ponzi di China, dipenjara seumur hidup manakala 24 lagi turut dihukum kerana terbabit dalam penipuan yang dianggap terbesar di China.

Syarikat itu, Ezubao, menipu AS$7.6 bilion (RM32 bilion) membabitkan lebih 900,000 pelabur, kebanyakannya antara 2014 dan 2015.

Portal berita People's Daily melaporkan hidup mewah pegawai atasan syarikat berkenaan menarik perhatian terhadap kes berprofil tinggi yang lama dibicarakan.

Syarikat itu didakwa mengada-adakan kebanyakan projek yang disiarkan di laman sesawangnya dan membayar dividen pelabur lama menggunakan wang pelabur baru.

Pengerusi Yucheng Holdings, iaitu syarikat induk Ezubao, Ding Ning, dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah di Beijing untuk pelbagai tuduhan termasuk menerima deposit secara haram dan memiliki senjata api.

Ding Ning dilaporkan menghadiahkan cincin berlian merah jambu dan vila mewah di Singapura kepada presiden Ezubao manakala setiausahanya diberi beg berjenama seperti Louis Vuitton dan Gucci.

Seorang lagi pegawai kanan syarikat itu, Ding Dian, yang juga adik Ding Ning, turut dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup.

Seramai 24 lagi defendan dipenjara antara tiga hingga 15 tahun dan denda manakala Yuchen dikenakan penalti 1.9 bilion yuan (RM1.22 bilion).

Eksekutif syarikat itu menanam dokumen kewangan di kawasan berhampiran ibu pejabat mereka di wilayah Anhui dan polis mengambil masa 20 jam untuk menggalinya menggunakan dua jengkaut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 September 2017 @ 8:29 PM