ALAN Pope bersama isterinya, Sharon bergambar ketika melancong di Indonesia. - Agensi
ALAN Pope bersama isterinya, Sharon bergambar ketika melancong di Indonesia. - Agensi

Bali: Seorang pelancong Britain hampir maut selepas lehernya ditusuk seekor ikan todak ketika menaiki sebuah bot di sebuah pulau di Bali, Indonesia baru-baru ini.

Alan Pope, 57, bersama isterinya, Sharon, 55, berada di dalam sebuah bot kecil dan bersedia untuk menyelam berhampiran sebuah pulau.

Bagaimanapun, seekor ikan todak tiba-tiba melompat dari air dan terus menikam leher Pope menyebabkan lelaki itu terjatuh di lantai bot.

Akibat rempuhan yang kuat, paruh ikan todak itu patah dan sebahagiannya masih tertanam di dalam leher Pope.

“Saya tidak nampak apa yang berlaku, tiba-tiba ada benda yang memukul kepala saya sebelum saya berasa sakit di leher,” kata Pope.

Sharon berkata, dia terkejut melihat suaminya terbaring sambil memegang lehernya yang berlumuran darah.

“Dia kelihatan seperti ditembak dan ada lubang di lehernya. Dia kemudian batuk dan darah tersembur dari mulutnya,” kata Sharon.

Menurutnya, mereka terpaksa bergegas pergi ke hospital untuk mendapatkan bantuan sebelum paruh ikan todak itu yang sepanjang pisau dapur dapat dikeluarkan.

“Semuanya mengambil masa selama 36 jam dan tiga hospital hinggalah doktor berani mengeluarkan paruh ikan todak itu kerana bimbang dengan risiko pembedahan,” jelasnya.

Menurutnya, suaminya bernasib baik kerana paruh ikan todak itu tidak mencederakan saluran darah utama di lehernya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2017 @ 4:05 AM