TILLERSON (kiri) menandatangani perjanjian memerangi keganasan dengan Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani di Doha, kelmarin.  - EPA
TILLERSON (kiri) menandatangani perjanjian memerangi keganasan dengan Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani di Doha, kelmarin. - EPA

Riyadh: Perjanjian memerangi keganasan yang ditandatangani Qatar dan Amerika Syarikat tidak ‘mencukupi,’ kata empat negara Arab yang memulaukan emiriah berkenaan.

“Langkah itu tidak cukup,” menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan empat negara berkenaan - Arab Saudi, Bahrain, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu.

Menurut kenyataan itu, ikrar yang dibuat pihak berkuasa Qatar tidak boleh dipercayai, memandangkan negara itu tidak pernah melaksanakan perjanjian sebelum ini.

Ia menggesa pengawasan rapi dilakukan bagi memastikan keseriusan Qatar untuk kembali ‘kepada jalan yang betul.’

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Rex Tillerson menandatangani perjanjian berkenaan dengan Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani di Doha kelmarin.

Bercakap kepada wartawan, Tillerson berkata, perjanjian itu berasaskan kepada keputusan yang dibuat di sidang kemuncak di Riyadh Mei lalu yang bertujuan ‘menghapuskan keganasan dari muka bumi.’

Sheikh Mohammed pula berkata, Qatar menjadi negara pertama di Asia Barat untuk menandatangani perjanjian dengan Washington bagi memerangi keganasan.

Arab Saudi dan tiga negara sekutunya bertindak memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Qatar selepas mendakwa ia menyokong fahaman pelampau. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2017 @ 6:35 AM