Sheikh Tamim hadir ke Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama Teluk ke-41 di Kota al-Ula dekat Riyadh. Foto AFP
Sheikh Tamim hadir ke Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama Teluk ke-41 di Kota al-Ula dekat Riyadh. Foto AFP
BERNAMA

Riyadh: Arab Saudi pada Selasa mengesahkan sudah berdamai dengan Qatar dan Sidang Kemuncak Majlis Kerjasama Teluk ke-41 membuka fasa baharu 'solidariti' dan 'kestabilan' antara negara-negara serantau, lapor Agensi Anadolu.

Bercakap pada sidang media di Kota al-Ula, tempat sidang kemuncak berlangsung, Menteri Luar Faisal Farhan berkata Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir sudah memulihkan hubungan diplomatik sepenuhnya dengan Qatar.

"Kebijaksanaan pemimpin Teluk mampu mengatasi semua perbezaan," katanya selepas sidang kemuncak itu.

"Ada kemahuan politik dan keyakinan baik untuk memastikan pelaksanaan perdamaian," katanya.

Sidang kemuncak itu turut dihadiri Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al-Thani, menandakan kejayaan dalam penyelesaian krisis yang bermula pada Jun 2017 ketika keempat-empat negara memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar.

Mereka menuduh Qatar menyokong keganasan dan mencampuri urusan dalaman, namun dinafikan Doha.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 11:43 AM