ANGGOTA tentera laut Indonesia menaiki bot getah ketika melakukan latihan serang hendap ketika pelancaran rondaan bersama antara Malaysia,  Indonesia dan Filipina di Tarakan, Indonesia, semalam. - Reuters
ANGGOTA tentera laut Indonesia menaiki bot getah ketika melakukan latihan serang hendap ketika pelancaran rondaan bersama antara Malaysia, Indonesia dan Filipina di Tarakan, Indonesia, semalam. - Reuters
Agensi

Tarakan: Indonesia, Malaysia dan Filipina semalam memulakan rondaan maritim bersama bagi meningkatkan keselamatan ketika ancaman militan di ketiga-tiga negara itu dilihat semakin meningkat.

Rondaan bersama itu dilancarkan ketika pertempuran masih berterusan antara tentera Filipina dengan kumpulan militan yang setia kepada Daish di bandar Marawi di pulau Mindanao, selatan Filipina.

Panglima tentera Indonesia, Gatot Nurmantyo berkata, rondaan bersama itu adalah bertepatan dengan masanya ketika negaranya berusaha mengekang militan dari Marawi melarikan diri ke Indonesia dengan menyamar seperti pelarian.

“Kita perlu mengawasi 500 hingga 600 militan di sana (Filipina), 257 daripada mereka sudah pun mati ditembak. Bakinya, berdasarkan maklumat yang kami peroleh, kini bercampur gaul dengan pelarian dan cuba untuk meninggalkan bandar itu,” kata Nurmantyo

Tiga negara berjiran itu mencapai kata sepakat pada Mei 2016 untuk menjalankan rondaan bersama dan berkongsi perisikan berikutan beberapa kejadian menculik warga asing oleh kumpulan Abu Sayyaf yang berpangkalan di pulau paling selatan Filipina dan memenggal beberapa mangsa selepas wang tebusan tidak dibayar.

Ketiga-tiga negara itu juga merasmikan markas maritim - di Tarakan, Indonesia, di Tawau, Malaysia dan di Bongao, Filipina bagi mengumpulkan maklumat dan menyelaraskan rondaan.

Ia akan membolehkan kapal paling dekat dengan mana-mana negara dikerah menyahut panggilan kecemasan dan membolehkan operasi mengejar militan dilancarkan.

Pelancaran itu dihadiri menteri pertahanan ketiga-tiga negara. Perwakilan dari Singapura dan Brunei hadir sebagai pemerhati.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 8:56 AM