PESERTA mengibarkan Jalur Gemilang di puncak bukit
PESERTA mengibarkan Jalur Gemilang di puncak bukit
Fazurawati Che Lah


BULAN kebangsaan terus disemarakkan mahasiswa MSU College Sungai Petani, Kedah apabila menjayakan program Merdeka Charity Hike 2019, baru-baru ini di Gunung Baling bagi menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan warga kolej.

Program anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi serta Majlis Perwakilan Pelajar itu bukan sahaja mendapat sokongan dan penyertaan yang luar biasa daripada penuntut, tetapi termasuk anggota keselamatan seperti polis, bomba serta penyelamat serta hospital.

Hasil penyertaan penuntut dalam aktiviti kokurikulum seperti itu turut menyumbang kepada pembangunan potensi mereka di universiti seterusnya membentuk kemahiran kepimpinan, semangat kerja berpasukan, meningkatkan keyakinan dan kecerdasan fizikal mereka.

Penuntut Diploma Reka Bentuk Grafik, Mohammad Hafiz Hussain berkata, program itu menjadi simbolik dan inspirasi kepada mahasiswa untuk menghayati kesusahan dan kepayahan pejuang menuntut kemerdekaan serta keselesaan pada hari ini.

“Walaupun aktiviti mendaki bukit dan pergunungan mampu mencabar mental dan stamina, peserta ternyata begitu bersemangat dapat mengibarkan Jalur Gemilang di puncak bukit.

“Lebih menggembirakan apabila kami sama-sama melaungkan perkataan merdeka sebagai tanda cinta kepada tanah air,” katanya.

Program santai itu bukan sahaja memberikan pengalaman dan pendedahan dalam aktiviti pendakian, tetapi mampu menyemai semangat cinta akan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 7:44 AM