AKSESORI tambahan penyeri si gadis.
AKSESORI tambahan penyeri si gadis.
Redzuan Muharam

Tiada salahnya meminjam dengan rakan jika tidak ada bajet untuk membeli pakaian atau aksesori baru bagi menghadiri majlis tertentu.

Lagipun, ia lebih menjimatkan kerana ada kalanya pakaian dibeli itu dipakai sekali saja.

Bahkan, tidak semestinya pakaian itu sesuai dengan tubuh anda, jadi jangan ambil mudah sebaliknya penting untuk mengambil kira beberapa aspek penting terlebih dulu.

Antaranya saiz pakaian dan warna. Berikut perkara perlu dilakukan jika mahu meminjam baju rakan:

Cuba dahulu

Ini perkara pertama perlu dilakukan bagi mengetahui sama ada pakaian itu sesuai dengan anda atau tidak.

Dengan mencubanya, anda dapat tahu jenis fabrik digunakan dan membiasakan diri dengan pakaian berkenaan walaupun sekadar jaket atau gaun mini.

Elak ambil risiko dengan memakainya pada hari majlis tanpa mencuba dahulu kerana belum tentu ia sesuai dengan anda.

Ambil gambar

Selesai menyarung pakaian, minta pertolongan rakan untuk mengambil gambar anda.

Jangan ambil gambar separuh sebaliknya penuh iaitu daripada hujung rambut hingga hujung kaki.

Dengan cara ini, anda dapat melihat penampilan secara keseluruhan dan membuat pertimbangan sama ada untuk memakai pakaian itu pada hari majlis atau menukarnya dengan yang lain.

AMBIL gambar selepas mencuba baju untuk tahu kesesuian.
AMBIL gambar selepas mencuba baju untuk tahu kesesuian.

Minta pendapat ‘bff’

Anda mungkin lebih tahu imej yang sesuai dengan diri sendiri namun apa salahnya minta pendapat teman rapat.

Boleh jadi, pendapat mereka membantu anda menyuai padan pakaian yang ingin digayakan.

Namun, jangan terlalu terpengaruh dengan pandangan mereka kerana anda yang perlu menentukan apa perlu dipakai nanti!

Bijak suai padan

Tidak semestinya anda perlu meminjam semuanya daripada rakan kerana boleh juga menyuai padan koleksi peribadi.

Contohnya, anda boleh menggayakan pakaian kepunyaan rakan bersama seluar dan kasut sendiri.

Begitu juga dengan aksesori lagi kerana apa yang lebih penting adalah kebijaksanaan dalam menyuai padan helaian yang ada.

BIJAK suai padan pakaian untuk ke majlis tertentu.
BIJAK suai padan pakaian untuk ke majlis tertentu.

Mainan warna

Tidak dinafikan, ada yang gemar bermain selamat dengan memilih pakaian berwarna hitam dan putih saja.

Namun, anda perlu tahu rona berani sebenarnya boleh menyerlahkan penampilan anda.

Jadi, jangan terlalu obses dengan satu warna saja kerana banyak lagi rona yang boleh menonjolkan sisi remaja anda!

RONA terang sesuai untuk remaja berani.
RONA terang sesuai untuk remaja berani.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 3:53 AM