KETIKA di Bukit Wawasan, Puchong.
KETIKA di Bukit Wawasan, Puchong.
Aniza Zainudin

Kecekalan dan kesabaran empat anak gadis mengharungi enam batang sungai dalam ekspedisi menyaksikan keunikan air terjun di Sungai Chiling, Selangor sudah cukup membuatkan pasangan, Nor Maimu Sham Shaini Ab Ghani, 40, dan Azlee Hisyam Othman, 43, berbangga dengan zuriat mereka.

Aktiviti merentas hutan dan mendaki bukit menjadi kegiatan rutin bagi keluarga kecil ini demi menghabiskan masa berkualiti bersama, selain mendidik jiwa masing-masing supaya menghargai warisan asli tanah air.

Berpegang kepada prinsip ‘sabar dalam kepenatan kerana kemanisan menanti di penghujungnya’, pasangan suami isteri ini menyifatkan aktiviti luar berkonsepkan proses pembelajaran kemahiran hidup akhirnya berjaya dikuasai anak mereka.

Nor Maimu Sham Shaini berkata, idea menjadikan kegiatan luar ini sebagai aktiviti keluarga tercetus apabila empat anak mereka meningkat remaja.

BERSAMA suami.
BERSAMA suami.

“Sebelum ini, rakan sepejabat menganjurkan aktiviti mendaki bukit dan membuatkan saya terfikir ia boleh memberi keseronokan kepada keluarga.

“Tambahan pula, adik-beradik saya turut menyukai aktiviti seperti ini, jadi ia peluang terbaik bagi saya sekeluarga melakukan perkara baru ini.

“Merentas hutan aktiviti paling kami minati kerana hutan bukan saja membekalkan oksigen dan nyaman, bahkan memberi ketenangan tatkala dikelilingi kehijauan pokok.

“Menariknya, aktiviti keluarga ini berjaya menarik perhatian anak berbanding hanya menghabiskan masa di rumah tanpa melakukan perkara berfaedah.

MENGHABISKAN masa berkualiti bersama.
MENGHABISKAN masa berkualiti bersama.

“Apabila melakukan aktiviti ini, minda anak akan menjadi lebih terbuka dan fokus, malah mereka boleh mempelajari perkara baru di hutan yang tidak dapat dipelajari di sekolah secara praktikal.

“Jika berada di rumah, kebanyakan masa dihabiskan dengan menonton televisyen ataupun bermain telefon pintar.

“Berbeza sekiranya mereka dalam hutan belantara yang sememangnya tiada liputan telefon,” jelasnya.

Katanya, aktiviti luar yang tidak memerlukan kos tinggi ini mampu memberi pendedahan kepada anak berusia antara tujuh hingga 15 tahun mengenai pemeliharaan dan penjagaan alam sekitar.

BERLATAR belakang air terjun Sungai Chiling.
BERLATAR belakang air terjun Sungai Chiling.

Pada masa sama, aktiviti yang memerlukan ketahanan fizikal dan mental ini juga berupaya membentuk jati diri positif dengan menjadikan mereka lebih tabah serta sabar dalam menempuhi halangan sepanjang ekspedisi dilakukan.

Bertujuan mengeratkan hubungan kekeluargaan, kegiatan luar ini turut mengajar generasi muda mengenai asas kemahiran hidup di hutan seperti memasak menggunakan kayu api.

Oleh kerana anak sulung tinggal di asrama, kekerapan aktiviti merentas hutan bergantung kepada kelapangan si anak.

TAWAN puncak Bukit Broga.
TAWAN puncak Bukit Broga.

Jelas Nor Maimu Sham Shaini, aktiviti keluarga ini tidak akan dilakukan sekiranya seorang daripada ahli keluarga tiada di sisi.

Menyifatkan diri dan suami sebagai pencinta alam, Nor Maimu Sham Shaini mengakui mereka sering memilih lokasi percutian berlatarbelakangkan pemandangan indah serta udara yang nyaman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 1:00 AM