PEMANDANGAN dari tingkat 124 menara Burj Khalifa.
PEMANDANGAN dari tingkat 124 menara Burj Khalifa.
THE Palm Jumeirah tersenarai sebagai salah satu keajaiban dunia.
THE Palm Jumeirah tersenarai sebagai salah satu keajaiban dunia.
PERSEMBAHAN pancutan air berirama di Dubai Fountain.
PERSEMBAHAN pancutan air berirama di Dubai Fountain.
Mohd Fadly Samsudin


Bayangkan, dulunya ia hanya kawasan padang pasir semata-mata, bertukar menjadi sebuah bandar raya memukau dipenuhi bangunan serba moden dengan penduduk kaya-raya, bergaya dan glamor.

Itulah keajaiban Dubai. Transformasi kota itu seperti mana dilihat hari ini, adalah idea ‘aneh’ hingga mampu menjadi kuasa ekonomi di Timur Tengah.

Pada 1979, antara mercu tanda yang mula-mula dibina adalah bangunan setinggi 39 tingkat iaitu Menara Sheikh Rashid. Ia menjadi bangunan paling menyerlah dan menarik perhatian kala sebahagian besar kawasan itu masih lagi diliputi padang pasir.

Jemputan Coway Malaysia merealisasikan impian penulis untuk menghayati keunikan kota padang pasir yang kini terkenal sebagai destinasi pelancongan mewah dan membeli-belah.

Selain itu, syarikat penapis air dan udara itu turut membawa 94 ejen jualannya dari seluruh negara yang menerima insentif percutian atas kecemerlangan mereka mencatat jualan memberangsangkan. Turut sama adalah Ketua Pegawai Operasi, Lee Won Mo dan Pengurus Besar, Yew Kooi Kee.

Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (DXB) mengambil masa tujuh jam. Waktu Dubai adalah empat jam lewat berbanding Malaysia. Hujung minggu bagi penduduk Dubai pula adalah Jumaat dan Sabtu.

Warga tempatan yang tinggal di Dubai sebenarnya hanya 20 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduknya hampir tiga juta. Sebahagian besar adalah ekspatriat terutamanya dari India, Pakistan, Bangladesh, Nepal dan Filipina.

Sumber kekayaan Dubai bukan daripada hasil minyaknya semata-mata, tetapi turut disumbang pelbagai sektor lain termasuk hartanah, pelancongan, pelabuhan dan syarikat penerbangan terkemukanya, Emirates.

Pada hari pertama di sana, selesai saja urusan kemasukan ke Hotel St Regis, kami dibawa ke Marina Dubai untuk makan malam di atas kapal kayu tradisional dikenali sebagai dhow.

Turun saja ke lobi hotel, kelihatan enam limosin mewah berwarna putih dan hitam daripada model Infinity QX56 serta Cadillac Escalade yang bersiap sedia untuk membawa kami bersiar-siar sebelum menghantar ke Marina Dubai.

Selama dua jam, kami dibawa merentasi Sungai Dubai sambil menikmati pemandangan indah bangunan yang dihiasi cahaya lampu.

Sambil makan, rombongan dihiburkan dengan persembahan tarian Tanura iaitu penari lelaki memutarkan badannya tanpa henti lebih 10 minit. Pakaian menambahkan lagi keistimewaan tarian Tanura, dengan kombinasi warna dan mengembang cantik apabila penari memusingkan badan. Hebat!

Selesai makan malam, rombongan kami dibawa menyaksikan persembahan air pancut berirama.

Terletak di pekarangan menara Burj Khalifa, air pancut itu mampu melepaskan air setinggi 150 meter ke udara iaitu bersamaan bangunan 50 tingkat.

Dubai juga cukup terkenal dengan pulau buatan manusia yang dijadikan penempatan mewah, The Palm Jumeirah.

Dibina pada 2001, The Palm Jumeirah adalah lokasi kepada beberapa hotel, resort mewah dan pusat perniagaan termasuk Palm Atlantis, Jumeirah Zabeel Saray dan One & Only The Palm.

Kami berpeluang meninjau kawasan mewah itu menaiki monorel dari stesen Gateway dan berhenti di stesen Atlantis Aquaventure.

Teruja juga berada di pulau buatan itu yang turut tersenarai sebagai salah satu keajaiban dunia. Antara individu yang memiliki hartanah mewah di situ adalah bintang Bollywood, Shah Rukh Khan dan bekas pemain bola sepak terkenal, David Beckham serta pasangan bintang Hollywood, Brad Pitt dan Angelina Jolie.

Selain itu, pengalaman yang tidak harus dilepaskan sekiranya berpeluang berkunjung ke Dubai adalah meluncur di atas bukit pasir atau gumuk. Biasanya penulis menonton aktiviti ini di kaca televisyen dan berdebar-debar juga apabila diberitahu kami boleh merasai sendiri kelainan meluncur di sini.

Cabaran pertama bermula apabila kenderaan pacuan empat roda model Toyota Land Cruiser datang mengambil kami di hotel sebelum dibawa ke kawasan terletak di al-Madam, Sharjah, kira-kira satu jam perjalanan dari Dubai.

Di sana, kami ‘dihiburkan’ dengan kecekapan pemandu membawa kenderaan turun dan naik bukit padang pasir sambil melakukan pelbagai aksi.

Penulis yang duduk di bahagian paling belakang kenderaan itu berasa mual dan pening. Aktiviti itu memang tidak sesuai untuk mereka yang ada masalah kesihatan.

Melengkapkan pakej itu, kami menikmati makan malam di tengah padang pasir sambil dihiburkan pertunjukan api, tarian Tanura dan hidangan barbeku.

Kunjungan ke Dubai tidak lengkap sekiranya tidak merasai ‘gayat’ berada di atas bangunan paling tinggi di dunia, Burj Khalifa. Dengan ketinggian 828 meter, ia menjadi bangunan tertinggi di dunia selepas mengambil alih kedudukan Menara Taipei pada 2008.

Penulis bersama rombongan berpeluang merakam gambar dari aras 124 menara itu pada hari terakhir kami di Dubai. Untuk sampai ke tingkat 124, ia hanya mengambil masa seminit menggunakan lif.

Namun, kedudukan Burj Khalifa bakal dirampas apabila satu lagi mercu tanda di Dubai, iaitu menara tinjau yang masih belum diberi nama itu kini sedang rancak dibina.

Menara yang bakal siap menjelang 2020 itu mengambil inspirasi reka bentuk bunga lili. Ia dibina di kawasan pelabuhan Dubai Creek dan akan menandingi Burj Khalifa sebagai bangunan tertinggi dunia dengan ketinggian 928 meter.

Kami juga sempat berkunjung ke taman bunga semula jadi terbesar dunia, ‘Dubai Miracle Garden’ sebelum berangkat pulang ke tanah air.

Memiliki keluasan seluas 72,000 meter persegi, taman bunga itu dihiasi lebih 50 juta bunga daripada 120 spesies antaranya jenis petunia putih, petunia merah, geranium, viola, zinnia dan marigold yang membentuk pelbagai replika menarik.

Antaranya, replika pesawat Emirates Airbus A380 dengan saiz sebenar, patung beruang gergasi, Mickey Mouse setinggi 18 meter, burung kakak tua, kanggaru, rama-rama dan semut gergasi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 12:46 PM