KEMAHIRAN Mohd Amirul terhadap seni ukiran kayu diwarisi turun-temurun daripada moyangnya.
KEMAHIRAN Mohd Amirul terhadap seni ukiran kayu diwarisi turun-temurun daripada moyangnya.
Zaitie Satibi

Pada usia 15 tahun pemuda dari Besut, Terengganu ini sudah pandai bertukang dan membuat sendiri produk kraf seni ukiran kayu.

Kemahiran dimiliki Mohd Amirul Asyraf Ramli, 24, diwarisi daripada bapanya Ramli Husin, 61, yang juga pengukir dan tukang kayu terkenal.

Malah, bakat Ramli juga adalah warisan turun-temurun daripada datuk kepada bapanya sejak lebih 100 tahun lalu.

Kecenderungan Ramli terhadap bidang ukiran dan pembuatan produk kayu mendorong Ramli mengasaskan Ramli Wood Craft (RWC) pada 1988.

Mohd Amirul Asyraf berkata, dia mendapat pendedahan sejak kecil sehingga menimbulkan minat untuk mengikut jejak langkah bapanya dalam bidang berkenaan.

RAMLI (tengah) ditemani, Maimunah ketika membuat lakaran, manakala Mohd Amirul menggilap produk yang siap.
RAMLI (tengah) ditemani, Maimunah ketika membuat lakaran, manakala Mohd Amirul menggilap produk yang siap.

“Sejak kecil saya melihat ayah bertukang, tetapi ayah selalu kerja bersendirian. Oleh itu, saya mengambil keputusan meneruskan kerjanya dan belajar mengukir serta bertukang melalui pemerhatian.

“Ayah seorang yang tegas ketika mengajar membuat seni ukiran kayu ini kerana tidak mahu hasilnya sekadar memuaskan.

“Saya diajar langkah demi langkah, malah mood ayah juga mesti berkeadaan baik kerana jika dalam keadaan tertekan hasilnya juga tidak menjadi,” katanya.

Antara produk dihasilkan dua beranak itu ialah bingkai pintu, perabot tradisional Melayu, kraf kayu dan permainan tradisional menggunakan kayu berkualiti seperti cengal, nyatoh, tengkawang, meranti, tembesu dan damar hitam.

Walaupun Mohd Amirul Asyraf memiliki diploma dalam kejuruteraan, dia lebih selesa menjadi tukang kayu malah kemahiran dalam bidang berkenaan digunakan untuk membaik pulih mesin yang digunakan dalam pertukangan.

MOHD Amirul Asyraf membuat ukiran bunga tebuk yang dipelajari daripada bapa.
MOHD Amirul Asyraf membuat ukiran bunga tebuk yang dipelajari daripada bapa.

RWC kerap terbabit dalam pameran anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) dan menyertai program Jelajah Kraf Projek Satu Daerah Satu Industri (SDSI), selain karnival usahawan di seluruh Malaysia.

Paling membanggakan produk RWC menembusi pasaran luar negara terutama Syria dengan jualan produk ukiran dinding tabir kayu.

Susulan itu, RWC ingin melangkah ke pasaran antarabangsa bagi menimbulkan minat pengguna terhadap produk tradisional Melayu supaya tidak ditelan zaman.

Mohd Amirul Asyraf berkata, kakaknya Nurul Ain, 28, dan Nurul Hidayah, 27, turut membantu promosi dan pemasaran RWC.

Mereka turut dibantu ibu, Maimunah Mohamad, 50, yang akan bersama setiap kali RWC turun padang menyertai karnival di seluruh negara.

RAMLI (kiri) dan Mohd Amirul bersama produk kraf kayu dihasilkan RWC untuk pasaran tempatan.
RAMLI (kiri) dan Mohd Amirul bersama produk kraf kayu dihasilkan RWC untuk pasaran tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 2:44 AM