GALERI dan bengkel menempatkan hasil kraf kayu di Ipoh, Perak. FOTO: Mohd Khairul Helmy Mohd Din
GALERI dan bengkel menempatkan hasil kraf kayu di Ipoh, Perak. FOTO: Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Zaitie Satibi


SENI ukiran kayu dalam kalangan masyarakat Melayu lazim terdapat pada rumah, alat permainan, alat muzik tradisi, perabot, alatan dapur dan pengangkutan tradisi.

Ukiran yang dipersembahkan melalui bahan kayu ini sama seperti seni ukiran lain hanya berbeza daripada segi cara dan teknik pengukirannya.

Pahat, tukul, gergaji dan kikir adalah sebahagian peralatan yang digunakan untuk membuat kraf hiasan kayu, manakala motif yang diukir berasaskan flora, fauna, kosmos, geometri serta khat.

Seiring peredaran zaman, ia banyak mengubah kaedah mengukir apabila peralatan berasaskan sains dan teknologi mula mengambil tempat. Kemunculan mesin ukiran dan pemotongan laser dalam pembuatan ukiran kayu memberi nilai tambah terutama kepada kraf moden.

Melalui mesin ukiran dan pemotongan laser, pelbagai ukiran seperti bait perkataan, imej dan potret wajah diterbitkan semula pada permukaan kayu dengan kesan yang jelas. Pantas menyiapkan ukiran adalah kelebihan kaedah ini berbanding cara tradisional.

YU Azman ambil keputusan amal seni relief popular di Ukraine pada 2012.
YU Azman ambil keputusan amal seni relief popular di Ukraine pada 2012.

Mesin ini juga adalah teknologi yang menggunakan sinar plasma untuk kerja mengukir atau menggores dan memotong material tertentu tetapi menggunakan komputer serta perisian program khusus. Kualiti ukiran daripada laser ini juga terperinci dan mampu memberi nilai seni yang baik, selain prosesnya yang sangat cepat.

Kaedah ini biarpun digunakan segelintir dalam perusahaan pembuatan, mempunyai peminat tersendiri.

Ini kerana karya yang dihasilkan daripada mesin ukiran dan pemotongan laser ini adalah pelbagai malah mampu menghasilkan nilai seni luar biasa serta perkembangan yang tidak terbatas.

Bagi seniman kraf kayu, Yu Azman Hamid, walaupun kerja mengukir atau menggores kayu mengikut reka corak yang tertentu menggunakan sepenuhnya bantuan mesin, ia masih memerlukan kemahiran dan asas yang tinggi untuk membentuk setiap inci ukiran.

CENDERAMATA kraf kayu hasil goresan laser.
CENDERAMATA kraf kayu hasil goresan laser.

“Sistem laser pada zaman sekarang membolehkan ukiran kayu dihasilkan dengan cepat dan tepat. Sebelum laser digunakan, rekaan motif atau imej yang ingin diukir perlu dibuat menggunakan perisian komputer.

“Reka bentuk itu kemudian dimasukkan ke dalam perisian yang digunakan mesin laser untuk ‘bekerja.’ Dalam proses mengukir, mesin laser perlu dipastikan diatur cara dengan betul bagi mendapatkan hasil yang cantik.

“Lazimnya proses ini mengambil masa antara satu hingga dua jam bergantung kepada rekaan. Ini bermaksud semakin besar permukaan yang hendak diukir, semakin lama masa untuk disiapkan. Material yang siap diukir ini kemudian dipotong dengan laser,” katanya.

YU Azman memeriksa proses mengukir kraf kayu yang dihasilkan mesin laser.
YU Azman memeriksa proses mengukir kraf kayu yang dihasilkan mesin laser.

Antara kraf yang dihasilkan Yu Azman sejak menceburi bidang ukiran menggunakan laser ini pada 2015 seperti potret, perhiasan rumah, cenderamata, rantai kunci, label, kaligrafi dan papan tanda.

Yu Azman yang berkelulusan Diploma Seni Lukis dan Seni Reka Grafik dari Institut Cosmopoint Ipoh, Perak selain mengambil kursus Seramik Model dan Pembuatan Acuan di Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bermula sebagai seorang pelukis.

Beliau terkenal dengan seni pahat (relief) yang ditampilkan dalam bentuk dua dan tiga dimensi. Bentuk dan daripada ukiran memiliki ketebalan atau timbul serta hanya dapat dinikmati daripada sisi depan. Bahan yang digunakan untuk berkarya seperti batu, kayu, pasir, campuran simen, logam dan gipsum (Plaster of Paris).

Teknik berkarya dengan memahat mengikut pola motif khas yang sudah digambarkan pada permukaan bahan atau teknik acuan pada objek sebenar.

POTRET kraf kayu laser dapat sambutan peminat kraf sebagai kenangan.
POTRET kraf kayu laser dapat sambutan peminat kraf sebagai kenangan.

“Saya beralih ke seni relief kerana mahukan kelainan dalam berkarya. Awalnya saya menghasilkan karya menggunakan medium cat minyak sebelum tertarik dengan lukisan ukiran timbul yang ditonton dalam saluran YouTube.

“Seni relief ini didapati sangat popular di Ukraine dan saya mengambil keputusan mengamalkan seni ini pada 2012 selepas mendapati ia belum dikenali di negara ini pada ketika itu. Kebanyakan ukiran timbul yang saya hasilkan bermotifkan landskap, flora dan fauna serta tulisan khat kufi,” katanya.

Dengan modal simpanan sendiri dan sedikit pinjaman daripada ahli keluarga, Yu Azman mengasaskan bengkel dan galeri Skill of Art di Ipoh, Perak bagi membolehkan karya seninya dikomersialkan. Namun, beliau tidak keseorangan dalam melakar masa depan cerah dalam bidang seni apabila mendapat bimbingan dan pemantauan beberapa agensi kerajaan.

Melihat kesungguhan Yu Azman dan potensi dalam kraf membolehkan pihak seperti Kraftangan Perak, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Pihak Berkuasa Perlaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan SME Corporation Malaysia (SME Corp) membantu daripada segi kursus dan latihan.

“Agensi berkenaan juga membawa saya menyertai pameran berkaitan ke seluruh negara supaya saya mendapat lebih banyak pendedahan dan pada masa sama memperkenalkan seni kraf yang dihasilkan. Karya saya sudah banyak disunting jabatan kerajaan dan korporat terkemuka.

“Ternyata kraf kayu daripada ukiran laser ini mendapat sambutan menggalakkan, malah ada yang teruja kerana kagum dengan keunikan ukirannya.

“Saya juga mendapat maklum balas daripada masyarakat yang masih meminati seni ukiran kayu, namun mereka mahukan kelainan daripada segi persembahan. Dalam hal ini, kreativiti juga sangat penting selain teknik digunakan bagi menarik orang ramai kembali meminati kraf kayu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Ogos 2019 @ 5:30 AM