ROMBONGAN bergambar di pelantar atas stesen Gunung Titlis.
ROMBONGAN bergambar di pelantar atas stesen Gunung Titlis.
MELANGKAH perlahan-lahan di dalam gua glasier.
MELANGKAH perlahan-lahan di dalam gua glasier.
TAK kira tua atau muda, semua pengunjung pasti seronok meluncur salji di taman permainan glasier.
TAK kira tua atau muda, semua pengunjung pasti seronok meluncur salji di taman permainan glasier.
Zulkifli Ibrahim

Perlahan-lahan kereta kabel Rotair berhenti dan kami akhirnya tiba di destinasi. Bak LRT (Transit Aliran Ringan) singgah di KLCC (Kuala Lumpur City Centre), sebaik pintu terbuka, semua penumpang meluru keluar enggan buang masa lagi.

Stesen kabel Rotair di Gunung Titlis adalah bangunan setinggi empat tingkat yang dibina di tepi glasier (sungai ais). Ia bukan puncak, cuma di lereng gunung berkenaan yang digelar Klein Titlis. Stesen berkenaan terletak pada ketinggian kira-kira 3,000 meter atas aras laut manakala puncaknya berketinggian lebih 3,200 meter.

Begitupun bagi kami, tinggi atau rendah tiada apa bezanya kerana suhu ketika itu mencecah 10 darjah Celsius bawah aras beku.

Aras paling bawah stesen berkenaan menempatkan ruang pengunjung naik dan turun kereta kabel. Di atasnya deretan kedai cenderamata dan pintu masuk ke gua glasier. Beberapa restoran termasuk satu halal dikendali peniaga Arab terletak di tingkat tiga.

Namun, tiada yang lebih kuat gamitannya melainkan tingkat empat iaitu pintu keluar ke lereng gunung bersalji serta tarikan utama di sini, Cliff Walk dan Ice Flyer.

“Nanti dulu, abang-abang dan kakak-kakak. Sabarlah,” teriak Faris kepada kami semua, sambil tersenyum geli hati melihat pak cik mak cik di sekelilinginya yang tiba-tiba menjadi bagai kanak-kanak baru tiba di padang permainan. Seterusnya Faris memberi taklimat mengenai lokasi berkenaan dan serba sedikit pantang larang di situ.

Pertama sekali Faris membawa kami memasuki gua glasier. Ia bukan gua semula jadi tetapi dikorek dan dibuatkan terowong untuk pengunjung berjalan kaki di dalamnya. Glasier umumnya adalah sungai ais tetapi disebabkan ia mengalir terlalu perlahan, ia tidak terasa sedemikian. Di sepanjang laluan terowong itu ada pelbagai ukiran ais yang menarik.

Apa lagi, sibuklah kami mengeluarkan kamera atau telefon bimbit masing-masing bagi merakam kenangan di dalamnya. Seterusnya, tiba masa yang dinanti-nantikan, kami berpusu-pusu ke lif untuk naik ke tingkat empat. Mereka yang terdaya dan tidak sabar lagi, terus berlari menaiki tangga untuk melihat sendiri pemandangan memutih di lereng Gunung Titlis.

Orang sudah penuh sesak di pelantar atas stesen berkenaan sebaik kami tiba. Suasana memang gamat, tetapi riang dan ceria. Pelantar berkenaan tidaklah luas, mungkin besar sedikit berbanding gelanggang badminton tetapi di tengahnya ada keratan kad gambar ‘life-size’ Shah Rukh Khan dan Kajol daripada filem Dilwale.

Ketika kami tiba, bertembung pula dengan sekumpulan pelancong dari India, apa lagi kecohlah berebut mahu bergambar. Memang bijak pengurusan Gunung Titlis, lebih 10 tahun Dilwale berlalu, malah sudah ada versi baru, tetapi tetap diguna bagi menarik pelancong asing ke situ.

Pengunjung kulit putih tidak endah sedikitpun tetapi bila pelancong Malaysia bertembung dengan pelancong India dan Arab, suasana terus hangat tetapi penuh gelak ketawa. Jelas sama-sama tidak ketahui bahasa masing-masing tetapi sesekali kedengaran, “SRK”, “Shahrukh”, “Kajol” atau “Dilwale”.

Namun, keghairahan mulai reda apabila keseluruhan rombongan sudah tiba, dan kami bergerak beramai-ramai ke lereng bersalji. Keadaannya berangin dan salji ditiup bagai cebisan kapas ke sana ke mari. Di hadapan kami kelihatan menara pemancar yang sebenarnya mencacatkan pemandangan. Mujur bahagian antenna di atasnya penuh diselimuti salji, maka kelihatanlah ia seperti pokok krismas gergasi.

Cliff Walk, struktur yang menjadi matlamat kami di lereng Gunung Titlis adalah jambatan gantung keluli yang merentasi jurang sedalam 500 meter. Jambatan selebar semeter dan sepanjang 100 meter itu digantung pada ketinggian 3,041 meter atas aras laut, memberikan pemandangan meluas saujana mata memandang. Malah ia lebih tinggi berbanding beberapa puncak lain, yang mungkin terletak jauh beberapa kilometer.

Andai pemandangan di atas jambatan itu sudah menakjubkan, langkahlah hingga ke hujungnya dan pemandangan berubah bagai alam mimpi, puncak berkabus bertemu langit biru, tidak nampak di mana mula dan di mana pula hujungnya. Subhanallah!

Selepas puas bergambar, kami bergerak pula untuk ke satu lagi tarikan Gunung Titlis iaitu Ice Flyer. Ia sebenarnya lif kerusi berenam yang bergerak merentas gaung glasier untuk ke tempat permulaan ski di lereng gunung. Sebelum menaikinya, perlu bayar 12 euro untuk tiket seorang tapi tidak mengapalah, bukan datang selalu.

Perjalanan lif kerusi kira-kira 10 minit itu menawarkan nikmat yang sama dengan Cliff Walk iaitu pemandangan saujana jauh mata memandang melihat puncak-puncak putih yang jauh tetapi di bahagian lain Gunung Titlis. Ia sebenarnya adalah pengangkutan untuk mereka yang mahu bermain ski tetapi malas mendaki, namun begitu tetap dibuka kepada kami yang tidak tahu membezakan antara peluncur ski kiri dan kanan.

Penulis sebenarnya termasuk dalam kalangan gayat tetapi kerana terlalu teruja, tidak terasa secarik pun kegerunan di hati apabila merentasi gaung dan lurah beratus-ratus meter di bawah. Terasa pegun berbaur iri hati melihat mereka yang pandai meluncur ski dan snowboard di bawah sana.

Ada yang sempat melambai-lambai kepada kami, seolah-olah mencabar kami supaya turun menyertai mereka. Namun apakan daya, kami cuma mampu senyum dan membalas lambaian. Keseluruhannya, kebanyakan mereka mesra dan beradap, mungkin kerana mereka juga sedang ceria bercuti.

Usai mengunjungi tarikan wajib di sekitar Gunung Titlis, kami masih mempunyai masa senggang sebelum berhimpun di restoran untuk makan tengah hari. Selepas penat bermain salji meskipun menggigil kesejukan, menggigit piza di restoran Arab terasa enak sekali.

Selepas menjenguk ke kedai cenderamata dan coklat, sudah tiba masanya untuk kami semua menuruni Gunung Titlis dan kembali ke Engelberg. Namun demikian, Faris berkata, lawatan kami belum tamat lagi kerana di stesen tengah masih ada tarikan untuk dikunjungi iaitu taman permainan glasier.

Setiap pengunjung boleh memasuki taman ini dan bermain dengan percuma. Di sini, bagi kami yang tidak cukup berani bermain ski dan snowboard, boleh menggelongsor ais dan salji menaiki ‘snowtube’ dan ‘glider’.

Snowtube adalah tiub tayar lori yang dibungkus (macam pelampung yang sering diguna ketika banjir di tanah air) dan pengunjung boleh duduk atau berbaring di tengahnya, lalu meluncur laju menuruni lereng landai sejauh kira-kira 200 meter.

Begitu juga glider, adalah tunggangan berbentuk haiwan yang meluncur laju tetapi penunggangnya duduk tegak. Tidak ramai yang dapat menunggang hingga jauh ke bawah, namun jatuh terguling-guling di dalam salji memanglah sebahagian daripada keriangannya.

Malangnya, masa berlalu pantas dan sekitar jam tiga petang, tibalah detik kami harus meninggalkan Gunung Titlis. Destinasi kami seterusnya adalah tasik di bandar raya Lucerne tetapi di dalam bas, rombongan kami sunyi sepi. Mungkin kepenatan, mungkin juga sedih untuk beredar kerana tidak tahu bila lagi boleh kembali dan bergembira di sini.

Ketika di taman glasier, seorang ahli rombongan tanpa segan silu berkata, “umur mak cik dah 70 tapi bila datang sini, terasa macam tujuh tahun!” Benar kata mak cik itu, peluang bermain salji dan meluncur snowtube menyerlahkan jiwa ceria yang selama ini tersorok dan terpendam. Mungkin mak cik itu terkilan, kalaulah cucunya dapat datang bersama ke Gunung Titlis. Ya, seandainya berpeluang sama-sama bergelumang dalam salji dengan cucu, pasti menjadi hari paling gembira dan kenangan yang tidak mungkin dilupakan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Ogos 2017 @ 9:23 AM