Aniza Zainudin


MINAT mendalam mendorong suri rumah Nur Nazihah Abd Razak, 30, bergelar pereka hiasan dalaman. Ibu kepada dua cahaya mata ini melihat inisiatif dilaksanakannya sebagai satu kepuasan dan nilai tambah atau pemerkasaan kehidupan wanita yang memperuntukkan masa serta tenaga demi kebahagiaan keluarga.

“Pemilik kediaman juga perlu mengetahui berapa kos ingin digunakan berdasarkan kemampuan masing-masing dan ia disesuaikan dengan bilangan ruang yang ingin ubah suai.

“Sebaik-baiknya lakukan sedikit kajian berkenaan tema atau konsep dekorasi idaman. Apabila mereka mempunyai idea tersendiri, ia bukan saja dapat membantu pereka dalaman bahkan turut berpuas hati dengan hasil sentuhan nanti.

 SENTUHAN yang lebih santai.
SENTUHAN yang lebih santai.

“Bagi saya, tema sangat penting kepada penataan ruang kerana kediaman menjadi tempat privasi bagi seisi keluarga. Jadi, anda seharusnya selesa dengan kediaman mengikut tema impian.

“Sebagai pereka hiasan dalaman, tidak dinafikan kita mempunyai kelebihan untuk menghasilkan sentuhan mengikut cita rasa yang disesuaikan dengan kehendak pelang­gan.

“Namun kedua-dua pihak perlu saling menghormati dan bertolak-ansur dengan pendapat atau idea tata hias,” ujarnya.

KOMBINASI warna serlah satu-satu ruang.
KOMBINASI warna serlah satu-satu ruang.

Malah pereka hiasan dalaman hujung minggu ini turut mengakui penggunaan warna lembut dan pastel lebih disarankan bagi kediaman bersaiz kecil dengan keluasan bawah 1,000 kaki persegi.

Ia memberi ilusi luas bagi sesuatu ruang, jika dibandingkan ton terang seperti merah, kuning dan biru gelap membuat­kan rumah tampak lebih sempit serta padat.

“Sekiranya pemilik menginginkan warna cat terang, selalunya saya akan memberi alternatif kepada mereka untuk mengaplikasikan pilihan pada dinding utama.

PEREKA dalaman Nur Nazihah bersama anak-anaknya di Bangi Avenue 2, Taman Bangi Avenue, Kajang.
PEREKA dalaman Nur Nazihah bersama anak-anaknya di Bangi Avenue 2, Taman Bangi Avenue, Kajang.

“Pertambahan aksesori dinding terutama cermin sememangnya sinonim dan penting dalam bidang hiasan dalaman kerana ia bukan saja memberi sentuhan elegan tetapi menyerlahkan lagi keluasan rumah secara ilusi.

“Pencahayaan juga memainkan peranan penting. Seperti di gedung perabot dan hiasan dalaman, pereka banyak menggunakan elemen lampu dan pencahayaan menarik bagi menaikkan seri tata hias mereka.

“Hiasan dinding seperti bingkai gambar atau rak umpamanya perlu diletakkan bersama lampu sorot berwarna kuning sama ada dari atas mahupun bawah. Pencahayaan yang tepat mampu membuatkan dinding utama, selalunya di ruang tamu lebih menarik.

“Sekiranya sesebuah kediaman itu tidak mempunyai punca elektrik yang banyak, mereka boleh menggantikan lampu sorot kepada lampu lantai atau lampu meja sebagai alternatif menghasilkan suasana lebih santai bagi satu-satu ruang,” jelasnya yang berlatarbelakang­kan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan mengasaskan syarikat rundingan, NZ Design sejak sembilan bulan lalu.

PENGGUNAAN warna lembut dan pastel lebih disarankan bagi kediaman bersaiz kecil dengan keluasan bawah 1,000 kaki persegi. -FOTO: Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PENGGUNAAN warna lembut dan pastel lebih disarankan bagi kediaman bersaiz kecil dengan keluasan bawah 1,000 kaki persegi. -FOTO: Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Menurut Nur Nazihah lagi, penggunaan pokok hiasan berdaun hijau seperti ‘fiddle fig’ dan ‘monstera’ bukanlah satu kebiasaan bagi dekorasi dalaman sebelum ini.

Namun, trend berkenaan kini berubah apabila menjadikan pokok hiasan ini seakan-akan satu kemestian bagi sentuhan hiasan dalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 6:00 AM
PILIHAN warna tepat elak ruang nampak sempit.
PILIHAN warna tepat elak ruang nampak sempit.