RUANG tamu ditata hias untuk keselesaan penghuni dan tetamu.
RUANG tamu ditata hias untuk keselesaan penghuni dan tetamu.
Muhamaad Razis Ismail


Ramai beranggapan kediaman yang kecil sukar diubah suai dan ditata hias mengikut konsep diinginkan berikutan ruang yang terhad.

Bagaimanapun, kediaman bersaiz terhad ini juga boleh kelihatan cantik dan menarik jika anda membuat perancangan teliti daripada segala aspek termasuk pemilihan warna, perabot, susun atur dan hiasan di setiap ruang di kediaman.

Perkara ini dibuktikan Noor Naimah Ramli, 32, dan suaminya, Ahmad Syahir Sukiran, 38, yang berjaya mentransformasikan rumah jenis pangsapuri milik mereka di Setia Alam, Selangor apabila tampil menarik dan kemas biar pun mempunyai ruang terhad.

Jika dilihat daripada satu sudut sahaja, ramai tidak menyangka kediaman yang ditata hias dengan konsep moden minimalis ini hanya berkeluasan 750 kaki persegi sahaja.

Namun sentuhan kreatif Noor Naimah dan suaminya berjaya menjadikan kediaman itu nampak luas dan pada masa sama memberi keselesaan kepada penghuninya.

Ibu kepada seorang cahaya mata ini berkata, kediaman itu dibeli pada 2018 dan siap sepenuhnya pada April 2021.

Katanya, sebaik menerima kunci, kerja-kerja pengubahsuaian terus dilakukan dan mengambil masa enam bulan untuk disiapkan sebelum didiami pada Oktober 2021.

"Ketika mula mendapat kunci, saya akui agak risau juga untuk melakukan pengubahsuaian dan menata hias kerana ruang terhad terutama di dapur.

"Oleh itu, saya berbincang dengan suami untuk memastikan setiap ruang dimanfaatkan sebaik mungkin dan mempunyai fungsi tersendiri," katanya.

Jelasnya, antara ruang terawal yang diubahsuai adalah dapur dan juga pemasangan lapisan lantai batu plastik komposit (SPC) dengan menggunakan khidmat kontraktor.

"Kami buat keputusan untuk menyatukan bahagian dapur dan 'yard' dengan kebenaran pihak pengurusan supaya lebih luas. Di ruang ini juga dijadikan ruang dobi dengan menempatkan mesin basuh dan pengering," katanya.

Katanya, dia dan suami memanfaatkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk melakukan dekorasi rumah secara lakukan sendiri (DIY).

"Suami mula belajar cara buat 'shiplap' dan panel dinding melalui internet. Selain dapat belajar kemahiran baru, kos pengubahsuaian kediaman juga dapat dijimatkan.

"Oleh kerana rumah sewa agak dekat, boleh dikatakan hampir setiap hari kami berulang-alik ke kediaman untuk melakukan kerja-kerja menata hias kediaman," katanya.

Berikutan ruang kediaman yang terhad, dia dan suami perlu menitik beratkan saiz perabot yang bersesuaian.

"Boleh dikatakan hampir 80 peratus kami guna perabot baru. Contohnya di ruang tamu, kami gunakan kabinet televisyen bersaiz kecil dan tidak terlalu lebar.

"Begitu juga dengan meja makan, walaupun kecil tapi cukup selesa untuk menempatkan enam orang pada satu-satu masa," katanya.

Mengulas berkenaan pengurusan kewangan katanya, dia dan suami mula menabung sejak permohonan membeli kediaman diluluskan.

"Barang di dalam rumah banyak dibeli secara berperingkat di platform e-dagang yang menyediakan lebih banyak pilihan pada harga berpatutan," katanya.

Katanya, aktiviti mengubah suai dan menata hias kediaman sudah dilakukan ketika masih tinggal di rumah sewa lagi.

"Kami manfaatkan ilmu dan pengalaman seperti susun atur, penggunaan warna dinding dan perabot bersaiz kecil untuk menata hias kediaman baharu ini" katanya,.

Tambahnya, menata hias kediaman menjadi terapi kepada diri dan keluarga.

"Saya seronok melihat di setiap sudut rumah nampak lebih luas. Setiap kali pulang daripada kerja, melihat rumah dalam keadaan kemas, teratur dan bersih terus hilang rasa penat. Malah lebih tenang apabila berada di rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 September 2023 @ 7:01 AM