IKEA Malaysia melancarkan koleksi BLÅVINGAD.
IKEA Malaysia melancarkan koleksi BLÅVINGAD.
Hartini Mohd Nawi


Sempena Hari Kanak-kanak, IKEA Malaysia melancarkan koleksi BLÅVINGAD bagi memupuk minat dalam kehidupan laut dan pemuliharaannya.

Dari pelbagai jenis mainan lembut hingga tekstil bertemakan akuatik, permainan memancing dan pencahayaan yang indah, rangkaian ini terdiri daripada produk yang mengujakan bagi membangkitkan rasa ingin tahu berkenaan lautan serta beraneka jenis makhluk yang hidup di dalamnya.

Aktiviti bermain amatlah penting dalam kehidupan di rumah kerana kanak-kanak belajar untuk berinteraksi, mencipta, bersantai, dan meneroka melalui mainan.

Justeru, dalam meraikan keunikan itu, IKEA Malaysia turut menganjurkan kempen amal Bermain Demi Masa Depan bagi menawarkan peluang kepada lebih ramai kanak-kanak untuk bermain.

Bagi setiap mainan IKEA terpilih yang dijual antara 27 Oktober dan 27 Disember ini, RM1 akan disalurkan kepada rakan-rakan kongsi amal tempatannya termasuk Persatuan Perlindungan Kanak-kanak dan Yayasan Dignity for Children.

KANAK-kanak belajar untuk berinteraksi, mencipta, bersantai dan meneroka.
KANAK-kanak belajar untuk berinteraksi, mencipta, bersantai dan meneroka.

Menjalinkan harapan dan kepentingan kanak-kanak

Rangkaian BLÅVINGAD berinspirasikan penemuan daripada Panel Penasihat Kanak-kanak IKEA yang mengumpul pandangan daripada kanak-kanak berusia lapan hingga 14 tahun dari seluruh dunia.

Didapati, kanak-kanak mengambil berat berkenaan lautan, khususnya hidupan yang tinggal di dalamnya.

Justeru, IKEA memfokuskan visi reka bentuknya pada kehidupan marin di samping mengambil langkah-langkah kecil yang bermakna, misalnya memasukkan bahan lestari seperti seratus peratus poliester kitar semula yang terdapat dalam barangan tertentu seperti mainan lembut.

RANGKAIAN BLÅVINGAD memupuk minat dalam kehidupan laut dan pemuliharaannya.
RANGKAIAN BLÅVINGAD memupuk minat dalam kehidupan laut dan pemuliharaannya.

Menurut Pembangun Reka Bentuk Produk di IKEA, Jorge Omar Santoyo Henaine, mainan adalah nadi Kanak-kanak IKEA dan pihaknya terinspirasi untuk mencipta produk yang menawarkan lebih peluang kepada kanak-kanak dan keluarga untuk bermain.

"Melalui proses reka bentuk ini, kami menyedari betapa pentingnya untuk terus membangunkan rangkaian produk bukan sahaja menggalakkan aktiviti bermain, tetapi juga memenuhi keperluan terhadap kelengkapan rumah yang berfungsi," katanya,

Pada masa sama, koleksi itu turut menepati falsafah IKEA untuk mewujudkan kehidupan harian yang lebih baik di rumah. Melalui mainan, orang dewasa dan kanak-kanak dapat berinteraksi, mencipta, bersantai dan meneroka bersama-sama.

Aktiviti bermain memberikan banyak manfaat kepada kita lebih-lebih lagi ia dapat menyokong perkembangan kanak-kanak selain memacu daya kreativiti mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 November 2022 @ 7:00 AM