LANDSKAP bukan sekadar indah kawasan, malah terapi untuk kesihatan serta kesejahteraan mental.
LANDSKAP bukan sekadar indah kawasan, malah terapi untuk kesihatan serta kesejahteraan mental.
Muhamaad Razis Ismail


SEBELUM ini, landskap seperti taman dan kawasan hijau dilihat tidak lebih daripada sekadar mengindahkan kawasan sahaja.

Bagaimanapun, sejak penularan Covid-19, persepsi itu mula berubah apabila ramai mula menyedari kepentingan landskap dalam kesejahteraan hidup masyarakat.

Apa tidaknya selepas sahaja kerajaan mengumumkan kebenaran untuk melaksanakan aktiviti rekreasi dan merentas negeri, taman serta kawasan hijau menjadi tumpuan ramai.

Profesor di Jabatan Senibina Landskap Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof LAr Ts Dr Osman Mohd Tahir berkata, impak pandemik Covid-19 membuka mata masyarakat kepentingan landskap.

Katanya, ini adalah titik permulaan betapa pentingnya landskap kepada kehidupan dan kesejahteraan manusia.

"Sepanjang tempoh pergerakan 'disekat,' ramai yang tertekan apabila terpaksa berkurung di dalam rumah.

"Bagaimanapun, sebaik sahaja kerajaan mengumumkan kelonggaran, taman dan kawasan hijau antara lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai untuk meredakan stres.

"Sebelum ini kita kurang melihat kepentingannya, namun kini orang ramai semakin sedar keperluan kawasan hijau dalam kehidupan," katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, ramai yang mula menyedari 'kuasa' taman dan kawasan hijau ini sebagai terapi untuk kesihatan serta kesejahteraan mental.

DENAI Tiga Puteri antara kawasan hijau bandar yang menjadi tumpuan warga kota.
DENAI Tiga Puteri antara kawasan hijau bandar yang menjadi tumpuan warga kota.

AKTIVITI berkebun menjadi trend dalam kalangan masyarakat.
AKTIVITI berkebun menjadi trend dalam kalangan masyarakat.

"Kawasan terbuka ini juga sangat unik untuk menjadi 'ruang' bagi penyatuan masyarakat dalam menjalani norma baharu," katanya.

Menurutnya, dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ramai yang menjalankan aktiviti berkebun di rumah sehingga menjadi trend dalam kalangan masyarakat.

"Ini antara usaha yang dilakukan untuk membawa 'kawasan hijau' di rumah mereka," katanya.

Katanya, kawasan hijau bandar adalah satu aset amat berharga dan penting untuk dipelihara kerana ia memberi faedah amat besar terhadap kesihatan mental serta kesejahteraan penduduk.

Justeru itu, beliau melihat penilaian semula perlu dibuat terhadap pembangunan taman dan kawasan hijau termasuk melaksanakannya dengan lebih baik pada masa akan datang.

"Kerajaan dan pihak berkepentingan perlu membuat pelaburan untuk mewujudkan taman dan kawasan hijau kerana pulangan modalnya adalah dari segi kesihatan mental serta kesejahteraan masyarakat.

"Lokasi taman dan kawasan hijau ini juga perlu berada di kawasan yang memberi impak serta berkualiti tinggi.

"Selain itu, kawasan hijau yang sedia ada perlu diurus dan diselenggara sebaik mungkin selain amalan pengurusan taman yang terbaik," katanya.

Beliau berkata, sudah tiba masanya satu piawaian kualiti, kuantiti dan kebolehcapaian kepada infrastruktur hijau di peringkat kebangsaan dibangunkan.

"Menerusi piawaian ini kita mempunyai garis panduan yang boleh diguna pakai untuk setiap pembangunan landskap di setiap negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 6:35 AM