Fairul Asmaini Mohd Pilus

AIDILFITRI menjelma dan pastinya wanita dan ibu yang paling sibuk menyediakan kelengkapan untuk keluarga tercinta.

Selain persiapan, mengemas dan membersihkan kawasan rumah juga menjadi agenda utama bagi memastikan hari kebesaran bagi umat Islam itu disambut dengan lebih bermakna.

Bagaimanapun, dalam mengemas rumah, bab mencuci lantai atau membersihkan dinding jubin paling tidak digemari kerana ia dianggap renyah dan mengambil masa yang lebih lama terutama jika memiliki kediaman luas atau bertingkat.

Mengilat atau mop lantai misalnya dianggap tugas yang remeh namun ia memerlukan kudrat dan ketelitian bagi memastikan ia benar-benar bersih serta berkilat.

Terdapat beberapa petua mudah yang boleh dipraktikkan bagi mendapatkan lantai dan dinding jubin yang lebih bersih serta berkilat.

Berikut adalah cara-caranya:

1) Cuka dan sabun pencuci.

Cuka bukan sahaja digunakan dalam masakan, malah berperanan membantu membersihkan lantai rumah.

Caranya cukup mudah iaitu campurkan sedikit cuka makan dalam sebaldi air berisi sabun pencuci lantai dan kemudian mop seperti biasa.

2) Guna pelembut pakaian.

Pelembut pakaian boleh dicampur dengan air suam untuk mengilatkan lantai.

Ia juga menjadikan rumah anda berbau lebih harum.

PELEMBUT pakaian menjadikan rumah lebih harum.
PELEMBUT pakaian menjadikan rumah lebih harum.

3) Cuka dan air.

Campurkan 1/4 cawan cuka dan satu liter air sebagai pencuci lantai bagi rumah yang menggunakan lantai jenis kayu atau parkir.

4) Serbuk penaik dan cuka.

Karat di jubin seramik di bilik mandi pula boleh dibersihkan menggunakan cuka dan soda penaik.

Tuangkan campuran di tempat kotoran dan biarkan seketika.

Kemudian bilas dengan air dan lap menggunakan kain kering.

5) Soda penaik dan lemon.

Salah satu cara untuk membersihkan kesan kotoran pada pintu bilik mandi dan dinding jubin adalah menggunakan soda penaik atau lemon.

Celup berus gigi yang sudah tidak digunakan dalam serbuk penaik dan gosok kotoran di pintu bilik mandi atau dinding jubin.

Apabila sudah selesai, basuh dengan air seperti biasa.

Seminggu sekali, cuci permukaan jubin atau pintu bilik mandi dengan separuh lemon dan biarkan seketika sebelum dibasuh dengan air.

6) Lemon dan garam.

Sebagai pengganti kepada bahan peluntur, anda boleh menggunakan perahan lemon bersama sedikit garam.

Caranya, campurkan setengah cawan jus lemon dalam setengah cawan air.

Tambahkan 1/4 cawan dengan garam. Siram pada dinding dan lantai jubin.

Biarkan selama 10 minit atau sehingga keluar kerak-kerak hitam pada lantai. Bilas dan ulang sekali lagi.

KEDIAMAN yang bersih untuk meraikan Aidilfitri.
KEDIAMAN yang bersih untuk meraikan Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 6:15 AM