Nurul Husna Mahmud


BULUH mempunyai kekuatan dari pelbagai aspek termasuk mempunyai struktur padu apabila digandingkan atau mudah dibentuk.

Meneliti fungsi buluh dalam sejarah pembinaan struktur rumah atau perincian perabot tempatan, sebenarnya material itu sudah digunakan secara meluas oleh penduduk tempatan.

Namun peralihan kepada kayu dan kini konkrit menyebabkan material itu dilihat hanya sesuai sebagai kegunaan barangan harian seperti penyepit makanan, bilah sate atau dalam penghasilan kraf cenderahati.

Padahal dengan rekaan tertentu sebagai perabot, ia mampu memberikan nilai komersial yang mencapai kualiti import.

Itu antara dikongsikan Ketua Penyelidik dan Pensyarah Jabatan Rekabentuk Industri Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Khairul Aidil Azlin Abd Rahman yang melihat material ini mempunyai potensi tersendiri terutama dalam penghasilan perabot menerusi projek Bamboo For Life and Urban Homestyle (BULUH).

KUMPULAN penyelidik meneroka potensi buluh dalam rekaan perabot.
KUMPULAN penyelidik meneroka potensi buluh dalam rekaan perabot.

Beliau bersama rakan penyelidik lain berhasil meningkatkan taraf material tradisi itu kepada prospek lebih komersial menerusi rekaan perabot yang sesuai dengan gaya hidup kontemporari masa kini.

“Dalam projek BULUH ini kami mengenal pasti material buluh lebih lestari sebagai pengganti kepada material kayu yang menyumbang kadar eksport negara menerusi perabot berjumlah RM8 bilion kepada negara.

“Kita mahu teroka material baru selain meningkatkan lagi kepelbagaian pilihan perabot yang ada dalam pasaran tempatan, sekali gus meningkatkan pendapatan penggiat industri buluh itu sendiri.

“Kajian kami bermula dari ladang lagi iaitu mengenal pasti masalah pengusaha buluh yang ketandusan idea mencari solusi dalam mempelbagaikan produk mereka.

TAMPAK komersial rekaan perabot daripada buluh.
TAMPAK komersial rekaan perabot daripada buluh.

“Biasanya mereka ini menanam buluh bagi mendapatkan rebung dan apabila matang ia dipotong. Lalu buluh berkenaan dibakar dan arangnya digunakan dalam pembuatan sabun untuk dipasarkan secara kecil-kecilan.

“Selain itu kami turut berkolaborasi dengan kilang kecil yang memproses buluh untuk dijadikan papan lapis bagi perincian lantai. Tetapi persaingan sengit dalam pasaran membuatkan mereka tidak boleh pergi lebih jauh.

“Justeru kami berkolaborasi dengan semua pihak terbabit menerusi platform BULUH ini. Kami pereka mengenal pasti rekaan yang dapat meningkatkan nilai produk agar sesuai dengan keperluan dan permintaan semasa termasuk bagi tujuan eksport,” katanya.

Menerusi projek BULUH itu, terdapat 12 rekaan perabot diketengahkan daripada penghasilan meja, kerusi sehinggalah kepada perincian kecil seperti lampu hiasan.

BAMBOOK Table sentuhan Ar Mohd Azli.
BAMBOOK Table sentuhan Ar Mohd Azli.

“Kami menggabungkan material buluh bersama bahan lain termasuklah logam, kaca dan fabrik untuk disesuaikan dengan kediaman biasanya bercirikan urban dan kontemporari,” katanya.

Selain Dr Khairul, rakan penyelidik Ar Mohd Azli Mohamad Jamil mengakui material buluh diproses dan dirawat mempunyai daya tahan serta tegap sesuai untuk untuk pembuatan perabot.

Katanya, rekaan BAMBOOK Table iaitu meja kopi yang lengkap dengan rak untuk meletakkan buku antara inovasi diketengahkan dalam projek BULUH baru-baru ini.

“Saya ini arkitek dan sudah tentu inspirasi saya ialah daripada bangunan. Konsep rabung atas berbentuk segi tiga memberi inspirasi dalam rekaan ini.

“Jadi saya kekalkan struktur buluh dan dicantumkan menggunakan material bentuk sama buluh iaitu keluli tahan karat berbentuk silinder serta kaca tahan lasak berketebalan lima milimeter (mm) menjadikan ia antara meja kukuh,” katanya.

LAMPU mengambil inspirasi bunga bakawali.
LAMPU mengambil inspirasi bunga bakawali.

Sementara itu, kekuatan buluh itu sendiri iaitu sering digunakan meluas dalam kraf tradisional turut memberi inspirasi kepada kumpulan penyelidik menerusi rekaan motif etnik, Pinungo dan Binulan dihasilkan Dr Nazlina Shaari.

“Rekaan ini menggunakan buluh beting diraut dan boleh dikatakan rekaan ini menampilkan elemen organik serta mesra.

“Saya juga mengekalkan motif etnik dari Sabah yang sebelum ini menggunakan material sama hanya untuk barangan dapur tetapi dinaik taraf kepada penghasilan perabot,” katanya.

Turut diketengahkan dalam projek ini ialah rekaan lampu hiasan Bakawali, Dr Mohd Yazid Mohd Yunos yang tampak menonjolkan jika diketengahkan pada ruang dalaman.

“Rumitnya dalam menghasilkan lampu hiasan ini ialah perincian kelopak lampu Bakawali itu sendiri supaya tampil seperti bakawali sebenar,” katanya.

ANTARA perabot menggunakan buluh.
ANTARA perabot menggunakan buluh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 9:33 AM
SENTUHAN etnik pada rekaan kerusi Dr Nazlina. FOTO Rosela Ismail
SENTUHAN etnik pada rekaan kerusi Dr Nazlina. FOTO Rosela Ismail