KUALITI pertukangan bezakan hasil sesuatu produk.
KUALITI pertukangan bezakan hasil sesuatu produk.
Nurul Husna Mahmud

BERMULA dengan hobi menata hias laman sendiri menerusi struktur hiasan daripada gazebo sehinggalah kepada jambatan di kolam hiasan, Abdul Hadi Abbas kini gemar mempelbagaikan elemen berasaskan produk kayu sekali gus menyerlahkan aura taman.

“Biasanya kemasan lantai, tempat duduk dan jambatan semuanya daripada kayu tempatan seperti cengal.

“Begitu juga dengan struktur atau aksesori laman, kayu tempatan juga adalah terbaik kerana kualiti kayu keras ini iaitu balau dan jati tahan lasak iaitu sesuai dengan cuaca kita yang sering hujan serta panas sepanjang tahun.

“Namun, cabaran pemilik kediaman ialah kayu jenis ini mahal, tetapi untuk tempoh jangka masa panjang ia sesuatu berbaloi untuk dimiliki kerana sifatnya teguh,” katanya yang mempunyai kedai dalam talian, Projek Kayu.

Selain kerja pertukangan landskap, Abdul Hadi turut menghasilkan perabot dan aksesori hiasan kayu unik.

“Perabot kayu masih mendapat tempat di hati pemilik kediaman walaupun mempunyai rekaan rumah moden atau gaya hidup urban.

ABDUL Hadi
ABDUL Hadi

“Malah, lebih menarik, sebahagian daripada mereka sudah mempunyai rekaan perabot yang diinginkan.

“Selalunya mereka akan datang bersama rekaan yang mereka cari menerusi Internet. Rekaan selalunya untuk trend ketika ini ialah konsep lebih moden iaitu perincian geometri, kurang sarat dan minimalis,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Hadi mengakui, material bagi perabot atau aksesori biasanya kayu pain atau kualiti kayu gred C tempatan seperti kapur dan kempas. memandangkan material berkenaan lebih lembut dan sesuai untuk kualiti produk hiasan dalam rumah.

“Cita rasa dan keperluan berbeza setiap pemilik kediaman membuatkan pelbagai rekaan saya hasilkan.

“Umpamanya, dinding pemisah untuk satu ruang kepada ruang lain, selain menghasilkan aksesori lampu pelbagai bentuk seperti gajah, ikan dan labah-labah,” katanya.

KAYU gred C tempatan biasanya digunakan dalam pembuatan perabot dan aksesori. Kanan, lebih unsur moden.
KAYU gred C tempatan biasanya digunakan dalam pembuatan perabot dan aksesori. Kanan, lebih unsur moden.

Menyentuh berkenaan hasil kerja tangannya, kata Abdul Hadi, kepuasan atau maklum balas diterima ialah sentuhan peribadi pada kemasan akhir kayu.

“Memang rekaan ada sebahagiannya berdasarkan inisiatif pemilik yang kongsi idea atau gambar rekaan perabot mereka inginkan. Tetapi membezakan produk ialah kualiti pertukangan.

“Dalam kerja kayu, rasanya alur dan warna akhir kayu pada produk saya berbeza. Ramai mengakui ia berbeza daripada sedia ada dalam pasaran,” katanya.

PEMILIK kediaman sukakan kemasan dilakukan Abdul Hadi.
PEMILIK kediaman sukakan kemasan dilakukan Abdul Hadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Ogos 2019 @ 5:10 AM