RUANG kediaman untuk rumah kecil milik Francoise Guittenit bersama empat ahli keluarganya.
RUANG kediaman untuk rumah kecil milik Francoise Guittenit bersama empat ahli keluarganya.
THE Escher memberi suasana seperti dalam kediaman mewah.
THE Escher memberi suasana seperti dalam kediaman mewah.
Susunan Nurul Husna Mahmud


Bagi sesetengah individu konsep rumah ideal bagi sudah memadai andainya ia dilengkapi ruang dapur dan tidur. Fungsi lain seperti ruang makan dan tamu bukan sesuatu yang wajib.

Minggu ini empat idea dikongsi berkenaan konsep rumah mikro dari serata dunia.

Sekali gus memberikan gambaran ruang lebih juga dapat dimanfaatkan sama seperti rumah bersaiz besar.

The Escher

Rumah kecil berkeluasan 22.8 meter persegi ini turut dilengkapi kemudahan bergerak menerusi roda yang terdapat di tapaknya.

Perekanya iaitu pengasas New Fronter Tiny Home Nashville Tennessee Amerika Syarikat, David Latimer mengambil kira semua aspek termasuk nilai estetika pada dekorasi rumah mikro berkenaan.

Malah, rumah itu turut dilengkapi perabot mudah alih sesuai dengan ruang terhad.

Dalam ruang itu terdapat kemudahan asas seperti dapur, peti sejuk selain mesin basuh.

Aspek keselamatan turut dititik beratkan apabila terdapat pintu keselamatan kebakaran yang memudahkan penghuni melepaskan diri apabila berlaku kecemasan.

Rumah Kecil Napier New Zealand

Rumah kecil di Napier New Zealand yang mempunyai panjang tujuh meter dan lebar tiga meter itu masih cukup ideal bagi pasangan Francoise Guittenit dan Sarah Lee untuk didiami bersama tiga anak, Poppy, LouLou serta Francis.

Malah, mereka mengatakan rumah itu masih selesa diduduki waima dalam cuaca sejuk berbanding rumah lama yang memerlukan belanja besar untuk pemanas tambahan.

Ruang rumah itu memuatkan perabot asas iaitu meja empat kerusi selain kabinet dan ruang memasak. Dalam pada itu, bilik tidur dipisahkan dari ruang tamu menerusi rak buku.

Konsep rumah kecil ini cukup ideal bagi mereka untuk membesarkan tiga anak sebagai pendedahan berkenaan toleransi tinggal bersama dalam ruang cukup ringkas.

Projek Komuniti Rumah Kecil Zon Merah

Ahli Jawatankuasa Persatuan Rumah Kecil Canterbury New Zealand Kyle Sutherland berkongsi berkenaan rumah bersaiz 17 meter persegi.

Ia didiami bersama temannya antara rumah paling fleksibel dibina di zon merah atau pesara.

Berbanding pembinaan rumah bersifat kekal jauh lebih tinggi, menurutnya pembinaan konsep rumah mikro di kawasan bencana dilihat lebih sesuai kerana tidak memerlukan asas dan jauh lebih rendah kosnya.

Biarpun ruangnya agak sempit namun ia berfungsi memenuhi keperluan individu apabila mempunyai ‘loft’ berkeluasan enam meter persegi sebagai kawasan tidur selain dilengkapi kemudahan empat panel solar dan tandas kompos.

Rumah Kecil Raglan New Zealand

Meskipun rumah didiami pasangan Jacson dan Dominique Kluts’ hanya berkeluasan 35 meter persegi namun rumah berkonsepkan tepi pantai itu sangat selesa.

Rumah terbabit mempunyai perincian cukup teliti apabila ruang tamu menempatkan bangku berbentuk L menyajikan pemandangan cukup indah.

Lebih membanggakan ia hanya melalui proses enam minggu pembinaannya sebelum pasangan terbabit berpindah bersama anak perempuan mereka.

Selain dapur dan bilik tidur di bahagian tingkat dua rumah berkenaan, terdapat dek bersantai terbuka di bahagian atas dan bawah rumah selain kawasan pendiang api sambil menikmati pemandangan matahari senja.

Tidak lupa terdapat ruang bermain buat seorang anak pasangan di bahagian luar kediaman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 4:15 AM