JENIS B untuk keluarga yang sedang berkembang.
JENIS B untuk keluarga yang sedang berkembang.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


IJM Land melancarkan Robin @Rimbayu iaitu projek perumahan yang menjadi sebahagian daripada perbandaran Bandar Rimbayu berkeluasan 760.4 hektar.

Ia terdiri daripada 615 rumah berangkai dua tingkat membabitkan tiga jenis dan saiz berbeza iaitu Jenis A (177 unit), Jenis B (333 unit) dan Jenis C (105 unit).

Sejumlah 308 unit dari fasa satu dan dua dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM241 juta habis dijual dalam 28 minit pada hari pertama pelancaran.

Diilhamkan oleh burung spesies Robin yang melambangkan kehidupan meriah, optimis dan bertenaga, projek Fasa 14 dirancang dengan mengetengahkan seni bina yang sederhana dan moden.

Ia berkonsepkan pelan terbuka secara konsisten dan inovasi itu direka untuk memenuhi keperluan gaya hidup kontemporari dan memastikan pemilik dapat melalui perubahan positif dalam hidup.

Unit Jenis A pertengahan yang mempunyai ukuran tanah 18' x 65' dengan binaan 1,535 kaki persegi diperkenalkan dengan mengambil kira perubahan gaya hidup sepanjang tahun lalu kerana pandemik.

Tingkat bawah unit itu mempunyai konsep terbuka yang menawarkan fleksibiliti dan memberi kawalan kepada pemilik rumah untuk mengubah suai tempat tinggal mengikut keperluan yang sentiasa berubah pada masa depan.

Bermula pada RM648,800, unit Jenis A dilengkapi ruang yang luas termasuk halaman belakang seluas tujuh kaki, siling rumah tinggi dan balkoni di bilik tidur utama.

Pembeli rumah juga mempunyai pilihan untuk mempertimbangkan unit Jenis B yang dibina atas tanah seluas 18' x 65' membabitkan bangunan seluas 1,665 kaki persegi bermula RM680,800.

Walaupun unit itu mengutamakan ruang dan konsep terbuka seperti unit Jenis A, ia mempunyai kelebihan daripada segi kedalaman lantai yang lebih besar untuk menampakkan ruang yang lebih luas.

Chai Kian Soon
Chai Kian Soon

Kedua-dua unit Jenis A dan Jenis B masing-masing dilengkapi tiga bilik tidur, tiga bilik mandi dan pintu gerbang mewah yang sesuai dengan konsep sederhana, namun moden.

Unit Jenis C pula menawarkan reka bentuk dan susun atur untuk keluarga yang sedang berkembang dan mempunyai warga emas, sekali gus menjadikannya pilihan yang ideal sebagai rumah generasi.

Bermula dari RM881,800, unit itu mempunyai ukuran tanah 28' x 65' dan binaan 2,009 kaki persegi yang besar.

Sebagai unit terbesar, unit rumah teres dua tingkat separa berangkai itu dilengkapi empat bilik tidur, tiga bilik mandi, halaman belakang seluas tujuh kaki, taman berukuran lapan kaki dan ruang tingkat bawah yang terbuka terus ke taman.

Pengurus Besar Kanan Bandar Rimbayu, Chai Kian Soon berkata, perumahan itu mengutamakan gaya hidup berkualiti untuk pembeli rumah.

Kata Chai, ia berada dekat dengan The Club @ Rimbayu yang memiliki kemudahan kelas pertama dan Oasis International School yang menawarkan pendidikan berkualiti.

"Sesuai dengan norma baharu yang memerlukan masa lebih banyak di rumah, penduduk juga mendapat jaminan infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi.

"Semua rancangan dan konsep ini menyumbang kepada idea Bandar Rimbayu sebagai kawasan perbandaran sehenti dan mandiri untuk semua penduduk," katanya.

Sebagai perbandaran yang memenangi anugerah, Bandar Rimbayu menawarkan pelbagai kemudahan gaya hidup termasuk restoran pandu lalu, restoran makanan segera, pusat beli-belah dan banyak lagi.

REKAAN menarik kediaman jenis C.
REKAAN menarik kediaman jenis C.

Dalam usaha membina hubungan komuniti yang rapat, Robin juga menawarkan ruang terbuka seluas 3.48 hektar yang terancang untuk menjalankan pelbagai aktiviti termasuk gelanggang bola keranjang, gelanggang serbaguna, tempat permainan, taman permainan dan ruang bermain layang-layang

Untuk menjadikan konsep hub komuniti selangkah lebih maju, perumahan itu juga menyediakan kemudahan rekreasi untuk membantu penduduk menjalani gaya hidup yang lebih sihat dan lestari.

Komuniti dapat berkumpul untuk menikmati keindahan alam semula jadi, menjalankan aktiviti rekreasi di tapak perkemahan, tapak perkelahan dan taman hutan yang dipenuhi kanopi.

Pada masa sama, ladang dan dusun turut disediakan supaya mereka boleh menanam makanan mereka sendiri.

Dari kawasan kejiranan yang dijaga sepenuhnya, komuniti boleh memasuki kawasan perbandaran itu melalui empat pintu masuk dan keluar utama yang bersambung terus ke beberapa lebuh raya iaitu Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam, Lebuhraya Lingkaran Tengah (Elite), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) yang dijangka siap pada 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 6:30 AM