ANTARA rumah panjang di Sarawak.
ANTARA rumah panjang di Sarawak.
KEUNIKAN rumah panjang Bidayuh Sarawak.
KEUNIKAN rumah panjang Bidayuh Sarawak.
myMetro

Sarawak sangat terkenal dengan rumah panjang yang didiami suku kaum Iban, Melanau, Orang Ulu dan Bidayuh.

Kebanyakan rumah dibina berhampiran sungai yang menjadi laluan utama bagi masyarakat berkenaan.

Biasanya rumah panjang berkenaan mempunyai bilik untuk keluarga yang berjumlah antara 20 hingga 80 bilik.

Setiap rumah panjang boleh menempatkan antara 200 hingga 800 orang.

Rumah panjang Iban Sarawak

Rumah panjang adalah tradisi kaum Iban yang terdiri daripada satu deret berpuluh-puluh rumah kelamin. Rumah ini mempunyai ciri dan keistimewaan tersendiri dari segi keselamatan dan kebudayaan.

Seni bina rumah itu juga dikaitkan dengan dengan adat tradisi tempatan suku kaum masing-masing tanpa dipengaruhi masyarakat luar.

Malah Rumah panjang itu menggunakan tiang jenis kayu keras dan tidak mudah reput seperti kayu belian dari Kepulauan Borneo.

Bumbungnya daripada daun rumbia dan jenis daun tebal. Dinding rumah berkenaan diperbuat daripada kulit kayu seperti terentang atau buluh yang dikelar serta dibelah.

Sementara lantainya pula menggunakan buluh, papan atau kulit kayu. Tangga rumah diperbuat daripada sebatang kayu bulat yang ditakik dengan beliong dan dipanggil tangga takik.

Rumah panjang mempunyai 3 ruang iaitu tanju (serambi atau beranda terbuka), ruai (ruang terbuka) dan bilik.

Bahagian di atas bilik dan ruai dipanggil sadau (peran) sebagai tempat tidur anak dara di samping tempat menyimpan bijian dan perkakas.

Rumah panjang Bidayuh Sarawak

Rumah panjang ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu bilik utama, awah dan tanju. Bilik utama dapat disamakan dengan ruang utama kediaman pada masa kini.

Di dalam bilik ini, suku kaum Bidayuh lazimnya meletakkan barang peribadi milik keluarga dan keturunan mereka termasuk gong, tempayan serta tembikar.

Ruang ini juga berfungsi sebagai tempat tidur ketika malam. Awah pula adalah bahagian pelantar di luar rumah panjang itu dan lazimnya bertutup dan beratap.

Ia dapatlah disamakan dengan berandah rumah pada hari ini. Di ruang awah suku kaum Bidayuh menjalankan aktiviti harian mereka seperti menganyam, berbual, membuat peralatan dan bertani.

Malah ruang awah juga digunakan untuk sebarang upacara keagamaan seperti perkahwinan, pantang larang dan pesta tertentu termasuk pesta gawai.

Tanju pula ruang atau bahagian terbuka dan lazimnya tidak bertutup mahu pun beratap. Ruang itu digunakan untuk menjemur hasil tuaian seperti lada, padi dan jagung

Selain itu terdapat juga rumah Melayu Sarawak, rumah baruk Bidayuh dan rumah panjang tinggi atau Melanau Sarawak. Masing -masing mempunyai keunikan tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 January 2017 @ 5:01 AM