Pemain badminton negara (dari kiri) Goh Sze Fei, Nur Izzuddin Mohamed Rumsani, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Lee Zii Jia menunjukkan kad Debit-i Bank Islam selepas pelancarannya, semalam.
Pemain badminton negara (dari kiri) Goh Sze Fei, Nur Izzuddin Mohamed Rumsani, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Lee Zii Jia menunjukkan kad Debit-i Bank Islam selepas pelancarannya, semalam.
Azzman Abdul Jamal

Kuala Lumpur: Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) memperkenalkan kad Debit-i Islam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam penjenamaan bersama dengan Visa dan BAM.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Khairul Kamarudin berkata, penjenamaan bersama itu bagi mendapat sokongan kewangan meningkatkan mutu sukan badminton negara.

Katanya, pelancaran kad itu sebahagian strategi Bank Islam meluaskan rangkuman kewangannya kepada peminat sukan tanah air.

“Kami menyasarkan peningkatan pengeluaran 50,000 kad daripada inisiatif penjenamaan bersama ini, sekali gus meningkatkan jumlah pengguna kad debit Bank Islam kepada 3.2 juta di seluruh negara.

“Kad ini menawarkan pelbagai faedah menarik kepada pemegang dan sebahagian fi pengeluaran serta tahunan kad akan disalurkan kepada BAM sebagai sumbangan daripada Bank Islam dan pemegang kad untuk pembangunan skuad badminton.

“Dengan setiap kad yang dikeluarkan dan diperbaharui, sebanyak RM2 akan disalurkan kepada BAM bagi tujuan berkenaan,” katanya pada Majlis Pelancaran Kad Debit-i Bank Islam di sini, semalam.

Khairul berkata, penjenamaan bersama itu adalah ke-16 antara Bank Islam, Visa, persatuan bola sepak kebangsaan dan negeri, persatuan hoki, universiti serta syarikat telekomunikasi.

Sempena pelancaran itu, Khairul mengumumkan tajaan Bank Islam berjumlah RM300,000 kepada BAM.

Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, perjanjian penjenamaan bersama itu sehingga 2021.

“Kami berharap kerjasama ini membantu pelan pembangunan jangka panjang kami iaitu memenangi pingat emas Olimpik pertama di Tokyo, Jepun menjelang 2020,” katanya.

Kad Debit-i Bank Islam boleh didapati di cawangan Bank Islam minggu ketiga April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Mac 2018 @ 1:10 AM