FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Bisnes HM


AIRASIA akan mengecualikan caj pertukaran penerbangan untuk sebarang tempahan baharu yang dilakukan antara 3 Jun dan 31 Oktober 2020.

Presiden Kumpulan AirAsia (Penerbangan), Bo Lingam berkata, pilihan itu disediakan untuk tempahan dalam talian di airasia.com bagi penerbangan domestik di Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan India.

"Penumpang boleh membuat perubahan tarikh penerbangan dalam jumlah yang tidak terhad melalui tab 'Tempahan Saya' di airasia.com atau aplikasi mudah alih AirAsia, dan boleh menempah semula penerbangan mereka untuk perjalanan sehingga 31 Disember 2020, bergantung pada ketersediaan tempat duduk dan perbezaan tambang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, katanya, berikutan keadaan yang membabitkan kesihatan awam dan sekatan perjalanan semasa, pihaknya memahami bahawa penumpang perlu merancang semula perjalanan, terutama sepanjang tahun ini.

"Justeru, kami menawarkan lebih fleksibiliti untuk tempahan baharu supaya penumpang boleh menempah penerbangan mereka dengan yakin.

"Selain itu, kami juga melanjutkan tempoh sah akaun kredit kepada 730 hari, memberikan tawaran yang lebih fleksibel dan mudah kepada semua penumpang," katanya.

Menurutnya, perubahan tarikh dan waktu penerbangan hanya sah sehingga 48 jam sebelum waktu berlepas yang asal dan hingga empat jam untuk AirAsia India.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2020 @ 7:08 PM