IZHAM (empat dari kiri) bersama Victoria  (empat dari kanan) pada majlis menandatangani perkongsian di antara Malaysia Airlines dengan Manchester United di Kuala Lumpur, semalam.
IZHAM (empat dari kiri) bersama Victoria (empat dari kanan) pada majlis menandatangani perkongsian di antara Malaysia Airlines dengan Manchester United di Kuala Lumpur, semalam.
Sri Ayu Kartika Amri

MALAYSIA Airlines terus melebarkan sayapnya meneroka pasaran global melalui perkongsian strategik dengan kelab bola sepak Manchester United (MU), sekali gus dinamakan sebagai syarikat penerbangan komersial rasmi pasukan itu.

Pengarah Urusan Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG) Datuk Kapten Izham Ismail berkata, kerjasama itu menghimpunkan dua ikon global, Malaysia Airlines dan MU, serta bakal mencipta pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk peminat dan pelanggannya.

Katanya, melalui perkongsian itu juga, Malaysia Airlines bersedia untuk melebarkan Hospitaliti Malaysia yang terkenal kepada lebih 1.1 bilion peminat MU dan pengikutnya di seluruh dunia.

"Malaysia Airlines menantikan potensi serta peluang terbaik yang bakal diperoleh menerusi kerjasama ini termasuk kegembiraan yang akan dibawa kepada peminat bola sepak.

"Ia juga bagi memanfaatkan inisiatif pemasaran jenama bersama untuk meningkatkan pengiktirafan jenama kepada khalayak global yang pelbagai, di samping menyampaikan perkhidmatan berkualiti dan pengalaman mendalam membabitkan kedua-dua jenama ini.

"Kerjasama dengan kelab yang diiktiraf di peringkat global seperti (Manchester) United meletakkan Malaysia Airlines di hadapan masyarakat dunia selain mampu meningkatkan jenama kami terutamanya di Eropah dan Asia Tenggara dengan (Manchester) United mempunyai peminat yang besar dari seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani perkongsian di antara Malaysia Airlines dengan Manchester United di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Alliances & Partnerships Manchester United, Victoria Timpson; Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Penerbangan MAG, Ahmad Luqman Mohd Azmi serta pemain legenda Manchester United, Patrice Evra dan Wes Brown.

Selain itu, Izham berkata, kerjasama itu juga bakal menjadi penyumbang utama dalam mencapai rancangan Perniagaan Jangka Panjang 2.0 MAG dan berfungsi sebagai pintu masuk MAG ke seluruh dunia.

Beliau berkata, MAG bersedia untuk meluaskan perkhidmatan hospitaliti terbaik Malaysia kepada komuniti besar Manchester United yang mempunyai lebih 1.1 bilion peminat dan pengikut di seluruh dunia, termasuk 577 juta peminat yang berada dalam pasaran utama Malaysia Airlines.

Sementara itu, MAG turut memperkenalkan laluan baharunya ke Maldives; Chiang Mai, Thailand dan Da Nang, Vietnam, yang tersedia untuk jualan bermula semalam.

Syarikat penerbangan itu akan memulakan penerbangan hariannya ke Maldives pada 1 Ogos, Da Nang (24 September) dan Chiang Mai (15 Ogos).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2024 @ 7:01 AM