IZHAM  (dua dari kanan) bertukar dokumen dengan  Ida Riswana pada majlis MoU antara MAB dengan Andalusia di Petaling Jaya, semalam.
IZHAM (dua dari kanan) bertukar dokumen dengan Ida Riswana pada majlis MoU antara MAB dengan Andalusia di Petaling Jaya, semalam.
Alzahrin Alias


Petaling Jaya: Perkhidmatan sewa khas jemaah haji dan umrah di bawah Malaysia Airlines Bhd dikenali sebagai Projek AMAL bakal menjadi entiti baru di bawah Malaysia Aviation Group (MAG) pada suku keempat tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAG Izham Ismail berkata, Projek AMAL tidak lagi berada di bawah Malaysia Airlines, namun bakal menjadi syarikat penerbangan baru seperti Malaysia Airlines, Firefly, MASwings dan MAB Kargo.

Izham berkata, penubuhan itu juga mendapat persetujuan daripada Lembaga Pengarah dan Khazanah Nasional Bhd sebagai pemegang saham utama MAG.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya masih dalam proses kelulusan daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan beberapa pihak berkaitan yang lain.

“Projek AMAL selama ini adalah perkhidmatan di bawah kawal selia MAB, namun pada suku keempat tahun ini atau selewat-lewatnya suku pertama 2019, ia akan menjadi satu lagi anak syarikat sepenuhnya daripada MAG.

“Masih mengekalkan konsep perkhidmatan sewa khas bagi jemaah haji dan umrah, ia akan mempunyai pengurusan tersendiri, malah kami juga masih dalam perbincangan bagi menentukan logo dan jenama,” katanya selepas majlis memeterai perjanjian persefahaman (MoU) antara MAB dengan Andalusia Travel dan Tours Sdn Bhd (Andalusia) di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Andalusia Datuk Md Daud Che Ngah, Pengurusan Kanan Projek AMAL Hazman Hilmi Sallahuddin, Pengarah Urusan Andalusia Ibrahim Mat Sin dan Pengarah Andalusia Ida Riswana Idris.

Andalusia menjadi pelanggan baru MAB di bawah Projek AMAL dengan perjanjian selama tiga tahun bagi 237 penerbangan bernilai RM315 juta.

Mengulas lanjut, Izham berkata, MoU bersama Andalusia mengukuhkan lagi tawaran kumpulan penerbangan itu dan berada di landasan tepat untuk Projek AMAL.

Beliau berkata, Projek AMAL ketika ini mempunyai kapasiti tempahan sebanyak 350,000 penumpang setiap tahun dengan 40 peratus kapasiti adalah dari Andalusia.

Katanya, Projek AMAL ketika ini menggunakan pesawat A380-800 semasa yang mempunyai 489 tempat duduk.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 7:18 AM