Ewon (tengah) bercakap kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Pakej Francais 'Focus Point Sightsavers' dan Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Pernas dan Focus Point hari ini. FOTO BERNAMA
Ewon (tengah) bercakap kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Pakej Francais 'Focus Point Sightsavers' dan Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) di antara Pernas dan Focus Point hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kerajaan meminta Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) untuk meneliti sektor-sektor baharu yang boleh diterokai secara serius bagi memperkasakan lagi industri francais di negara ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata ini sejajar dengan hasrat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk melihat lebih banyak program-program perniagaan francais baharu dapat ditawarkan kepada para usahawan yang berminat.

"Ini (teroka bidang baharu) saya dah minta Pernas lakukan dan mereka akan kembali (memberikan maklum balas) kepada saya, sebab saya fikir pertimbangan (bidang baharu) itu perlu diteliti dengan lebih baik sebelum mereka membuat ketetapan untuk menjadikan ia satu pelaburan yang boleh kita tawarkan kepada usahawan-usahawan francais.

"Salah satunya ialah melihat kepada sektor optometri selain daripada sektor makanan dan minuman (F&B)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Konsep Francais Focus Point SightSavers dan Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Pernas dan Focus Point Vision Care Group Sdn Bhd di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R Ramanan; Pengerusi Pernas Datuk Hazimah Zainudin; Ketua Pegawai Operasi Pernas Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah dan Presiden Focus Point Vision Care Group Sdn Bhd Datuk Liaw Choon Liang.

Ewon berkata tahun lalu, Pernas selaku agensi di bawah KUSKOP telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM25.23 juta kepada 155 usahawan francais, sekali gus mencipta 594 peluang pekerjaan melalui pelbagai program dan skim yang dijalankan.

Bagi tahun ini pula, sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk pembiayaan francais dengan sasaran seramai 290 orang usahawan bakal menerima manfaat daripada pembiayaan tersebut dan untuk itu, Ewon berharap prestasi Pernas dapat dipertingkatkan lagi melalui perancangan strategik.

Katanya ini penting supaya hala tuju usahawan francais dapat dijajarkan mengikut mandat yang diberikan kepada KUSKOP sebagai penyelaras tunggal program keusahawanan di peringkat nasional.

Mengenai MoU yang dimeterai hari ini, Ewon berharap ia menjadi titik permulaan untuk lebih ramai usahawan memulakan perniagaan secara francais kerana Pakej Focus Point Sightsavers yang diperkenalkan menawarkan pelbagai manfaat, antaranya konsep waktu operasi yang fleksibel, pengubahsuaian tanpa kos dan modal permulaan yang berpatutan untuk peralatan, stok dan lain-lain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2024 @ 5:55 PM