Oleh Nurshafika Suhaimi

SHAH ALAM : Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensinya Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS), baru-baru ini melancarkan Program Business In Transformation Expo (BITe) 2023 bagi melahirkan lebih ramai usahawan tempatan menjadi francaisor.

Menteri KUSKOP Datuk Ewon Benedick berkata, sebanyak RM50 juta telah diperuntukan melalui Skim Pembiayaan Francaisi/Francaisor, Skim Pembiayaan Pra-Francais/ Pra-Francaisor, Skim Pembiayaan Pra-Francais (Lisensor/Lisensi), Skim Pembiayaan BIT Pra-Francaisor/Pra-Francaisi dan Skim Recurve.

"Penganjuran BITe 2023 mampu menjadi platform terbaik untuk mempromosikan program BIT kepada golongan sasar, seterusnya dapat membantu usahawan mikro dan kecil menjalankan perniagaan dengan lebih kompetetif dan efisien. 

"Sehingga 31 Disember 2022, sebanyak RM299 juta pembiayaan francais disediakan kepada 1859 usahawan francais melalui pelbagai skim pembiayaan," katanya

Datuk Ewon Benedick merasmikan program BITe 2023, disaksikan oleh Ahli Lembaga Pengarah (Exco) Pernas, Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek, Pengerusi Pernas Datuk Hazimah Zainuddin, Timbalan Menteri KUSKOP, Saraswathy Kandasami, dan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk' Sri  Suriani Ahmad di Setia City Convention Center. - FOTO Johan

Program ini menyasarkan pembiayaan RM2 juta pada tahun 2023 untuk membangunkan 24 pra-francaisor dan 240 pra-francais, manakala RM2.5 juta pula untuk pelaksanaan latihan modal insan melalui program BIT. 

Ewon turut berkongsi pencapaian BIT yang telah berjaya melahirkan seramai 1,400 usahawan-usahawan mikro, sekali gus mencipta peluang pekerjaan kepada lebih 2,800 orang.

Lebih membanggakan, ramai peniaga kecil di bawah BIT berjaya mengembangkan perniagaan dengan pertambahan bilangan outlet seperti jenama Putu Bambu World, UK Ice Blendz, Apam Balik Kuhot, Eyda Ice-Cream, Tisha's dan lain-lain.

Tisha's Food Manufacturing Sdn Bhd membawa pulang wang tunai berjumlah RM15,000 apabila berjaya merangkul dua daripada lima kategori iaitu Anugerah Usahawan Teknovasi BIT dan Anugerah BIT Terbaik 2023. - FOTO Johan

Bagi pengasas jenama Tisha's Food, Shamsul Shah Sulaiman, program BIT ini telah banyak membantu perniagaannya melalui bimbingan rundingan dan bantuan kewangan secara konsisten. 

"Pihak Pernas sendiri mempunyai pegawai berpengalaman luas yang dapat memberi pelbagai maklumat berkaitan dengan perniagaan francais dan skim pembiayaan serta latihan di Pernas.

"Mereka tahu mana yang terbaik untuk perniagaan kita, apa yang boleh dan tidak serta khidmat nasihat dan penerangan profesional yang diberikan secara percuma," katanya

Sementara itu, pemilik Apam Balik Kuhot, Mohamad Azmi Ahmad, meluahkan rasa syukur dengan sokongan dan bimbingan secara berterusan nyata cukup melegakan terutama sekali bagi syarikat kecil miliknya. 

"Kami mula perniagaan pada tahun 2018 tanpa sistem atau Standard Operating Procedure (SOP) perusahaan yang lengkap. 

"Namun, dengan adanya kursus dan bimbingan yang terlalu banyak terutama program BIT ini, menyebabkan syarikat kecil seperti kami dapat berkembang maju dengan wujudnya 'networking' yang baik," katanya.

Syarikat Apam Balik Kuhot berjaya merangkul kategori Usahawan Harapan BIT, dan membawa membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000. - FOTO Johan

Mengulas program BIT, beliau akui program BIT antara program paling baik untuk mana-mana usahawan bermula kerana dengan rangkaian agensi dan usahawan lebih luas, sekaligus membantu jenama kecil bergerak seiringan dengan jenama-jenama francais besar yang lain.

Pada majlis yang sama turut menyaksikan Pernas menandatangi dua Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Institusi Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan penyampaian Anugerah BIT kepada usahawan cemerlang.

Kerjasama strategik bersama MARDI dan SSM mampu memberi manfaat kepada usahawan BIT melalui khidmat konsultansi MARDI, promosi platform, program jelajah usahawasan, media sosial dan kaunter bergerak.

Penganjuran BITe buat kali kedua ini berjaya menghimpunkan 60 usahawan bagi mempromosikan pakej mampu milik dan model perniagaan mereka, seterusnya membuktikan komitmen KUSKOP dalam pemerkasaan usahawan francais.

Sehingga 31 Disember 2022, sejumlah RM9.9 juta telah disalurkan kepada 313 usahawan di dalam program BIT.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 12:28 PM