GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tenaga Nasional Bhd (TNB) memfokuskan empat aspek iaitu menyelamatkan nyawa; melindungi golongan rentan; menyediakan bekalan elektrik yang stabil dan memacu pemulihan ekonomi sebagai langkah menyokong Pelan Pemulihan Negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Baharin Din berkata, syarikat itu komited dalam membantu kerajaan mengatasi kesan krisis pandemik Covid-19 dan menyokong pelan tersebut, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya kesan positif daripada empat aspek tumpuan ini menjangkaui tiga indikator yang disebutkan dalam Pelan Pemulihan Negara yang berkait dengan kadar penularan pandemik Covid-19, keupayaan sistem kesihatan awam dan kejayaan progam vaksinasi negara.

"Kami mengutamakan kestabilan dan daya harap bekalan elektrik kepada hospital, pusat simpanan vaksin (PSV) dan pusat pemberian vaksin (PPV), serta pos kawalan sementara bagi anggota polis dan tentera.

"Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada Mac 2020, TNB telah menyumbang lebih RM33 juta bagi tujuan ini dan kini tumpuan diberikan bagi memastikan bekalan elektrik di lebih 40 PSV dan lebih 400 PPV kekal stabil," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baharin berkata, pihaknya juga aktif mengambil langkah-langkah perlu bagi memastikan TNB mencapai imuniti kelompok dalam kalangan 35,000 warga kerjanya, selain menawarkan premisnya sebagai pusat pemberian vaksin bagi mempercepatkan kadar pemvaksinan negara.

"Usaha-usaha ini melengkapi inisiatif berterusan TNB untuk mengurangkan kadar penularan virus seperti memendekkan waktu operasi Kedai Tenaga dan mengalih transaksi dan pertanyaan dari kaunter ke platform digital," katanya.

Di samping itu, TNB akan memperluaskan lagi bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik menerusi pelbagai program tanggungjawab sosialnya dan usaha sukarela warga kerjanya termasuk program potongan gaji secara sukarela.

Sejak Januari 2021, TNB telah secara terus memperuntukkan hampir RM9.5 juta kepada lebih 10,000 keluarga yang terjejas akibat pandemik ini, dan akan berterusan menghulurkan bantuan di kawasan di mana ia beroperasi di seluruh negara.

Tambah beliau, pelan bayaran mudah sedia ada TNB yang memanfaatkan hampir tujuh juta pelanggan domestik telah dilanjutkan sehingga akhir tahun ini dan pemotongan bekalan ditangguh sehingga hujung bulan ini.

Selain itu, diskaun 10 peratus yang memberi manfaat kepada lebih 11,500 pelanggan daripada enam sektor terpilih di bawah pakej PEMERKASA telah dilanjutkan sehingga akhir September.

"Kami juga berperanan penting dalam menyokong pemulihan ekonomi Malaysia dan ini akan menjadi lebih ketara dalam fasa-fasa akhir Pelan Pemulihan Negara.

"Ia merangkumi pelaburan perbelanjaan modal yang sedang giat dilaksanakan untuk memodenkan dan menambah baik grid nasional, serta memanfaatkan ekosistem TNB yang luas bagi mewujudkan kesan berganda kepada ekonomi menerusi program pembangunan vendor dan inisiatif latihan kemahiran semula," katanya.

Baharin berkata, sepanjang Tempoh Kawal Selia 2018-2020, TNB telah melabur lebih RM7 bilion dalam program pembangunan vendor.

Satu inisiatif latihan kemahiran semula yang diterajui pusat latihan TNB, Integrated Learning Solution (ILSAS) bertujuan memberi latihan kepada lebih 17,500 individu menjelang 2024 bagi menyokong proses peralihan tenaga negara.

"Bagi TNB, peranan kami untuk menyokong pertumbuhan ini bagi tempoh beberapa tahun akan datang sehingga 2024 akan bertumpu kepada memastikan sistem rangkaian bekalan yang kukuh dan selamat; memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berkembang dan berubah; serta menyokong proses peralihan tenaga negara, dengan cadangan nilai pelaburan berjumlah RM24 bilion," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 6:01 PM