Pengerusi PUNB, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani bergambar bersama penerima geran pada Majlis Apresiasi Jumper 2023 di Putrajaya. Turut kelihatan Pengurus Besar Bahagian Operasi PUNB, Fauzi Zakaria. - FOTO NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Pengerusi PUNB, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani bergambar bersama penerima geran pada Majlis Apresiasi Jumper 2023 di Putrajaya. Turut kelihatan Pengurus Besar Bahagian Operasi PUNB, Fauzi Zakaria. - FOTO NSTP/Mohd Fadli Hamzah
BERNAMA

Putrajaya: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) akan memperuntukkan sebanyak RM5 juta bagi pembiayaan lebih 300 peserta program Jom Jadi Perantis (JumPER) tahun ini.

Pengerusi PUNB Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata pertambahan jumlah pembiayaan itu adalah susulan kejayaan peserta JumPER sebelum ini dalam bidang keusahawanan diceburi masing-masing.

"Program JumPER akan terus ditambah baik bagi memastikan ia terus relevan bagi golongan belia yang mahu menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya.

"Untuk alumni JumPER tahun lepas, kita (PUNB) peruntukkan RM1.5 juta dengan melibatkan 78 peserta dan saya dapati program ini membantu graduan membina kerjaya mereka dalam bidang perniagaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi JumPER PUNB 2023 di sini hari ini.

Program JumPER yang diwujudkan pada 2009 itu sehingga kini berjaya melahirkan 4,256 peserta melibatkan nilai pembiayaan keseluruhan sebanyak RM20.9 juta.

Acryl Sani yang dilantik ke jawatan itu pada 1 September tahun lepas berkata program JumPER PUNB diwujudkan bagi menggalakkan golongan belia siswazah menceburi bidang perniagaan dengan memperkenalkan konsep latihan perantisan bersama mentor.

Beliau berkata peserta yang terpilih akan mengikuti latihan sehingga lapan bulan selain menerima elaun dari PUNB.

Menurutnya, PUNB memperuntukkan RM3.68 juta tahun lepas, bagi menjayakan tiga program di bawah inisiatif pembangunan usahawan muda yang melibatkan Geran Pembangunan Perniagaan Alumni JumPER, Program Latihan Pendigitalan Perniagaan-JumPER GREAT (Graduate Entrepreneurship Training) dan PUNB-Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Unichallenge 2023.

"PUNB sentiasa cuba memperkenalkan inisiatif baharu bagi menyemarakkan budaya keusahawanan dalam kalangan belia bumiputera serta meningkatkan penyertaan usahawan yang lebih berkualiti dan mahir dalam penggunaan teknologi digital, selaras dengan era digital," katanya.

PUNB diwujudkan pada 17 Julai 1991 untuk meningkatkan penyertaan dan penglibatan bumiputera dalam bidang keusahawanan serta melahirkan sebuah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang dinamik, berdaya tahan, progresif dan berjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 4:34 PM