FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) memperkenalkan Skim Pembiayaan Usahawan Terkesan Covid-19 (SPUR) yang menawarkan pembiayaan antara RM50,000 hingga RM100,000 untuk membantu individu Bumiputera menceburi bidang perniagaan akibat kehilangan pekerjaan ekoran penularan pandemik Covid-19.

Pengerusi PUNB, Tan Sri Noh Omar berkata, SPUR terbuka kepada semua individu Bumiputera berusia 18 tahun hingga 55 tahun yang hilang pekerjaan ketika penularan Covid-19 dan berhasrat untuk memulakan perniagaan atau telah mempunyai perniagaan yang berdaftar selepas Mac 2020.

"Kadar keuntungan yang dikenakan kepada usahawan hanya 3.5 peratus setahun berdasarkan kadar baki bulanan dan tempoh pembayaran maksimum sehingga lima tahun enam bulan.

"Penerima inisiatif ini diberikan penangguhan pembayaran selama enam bulan secara automatik dari tarikh pengeluaran dana.

"Pembiayaan SPUR ini boleh digunakan untuk modal kerja dan pembelian peralatan serta mesin bagi operasi perniagaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noh berkata, individu yang ditawarkan pembiayaan ini, berpeluang untuk mengikuti kursus dan latihan bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan keusahawanan dalam bidang pengurusan kewangan, pemasaran, tadbir urus korporat serta pengurusan am.

"Malah, mereka juga berpeluang untuk menyewa premis perniagaan milik PUNB dengan kadar sewa yang kompetetif. Ibra' (rebat) sehingga 50 peratus daripada jumlah pembiayaan akan diberikan kepada pembayar pembiayaan yang baik.

"PUNB komited untuk menyediakan peluang kepada usahawan Bumiputera mencapai kejayaan dalam perniagaan. Inisiatif SPUR ini bukan saja untuk menyediakan kemudahan dari aspek kewangan dan pembangunan keusahawanan, tetapi ingin memastikan usahawan dan perniagaan Bumiputera kekal berdaya tahan," katanya.

Permohonan SPUR boleh dibuat secara dalam talian bermula hari ini, menerusi pautan di www.punb.com.my.

Keputusan permohonan SPUR akan dimaklumkan kepada pemohon yang berjaya dalam jangka masa 20 hari waktu bekerja selepas pembentangan racangan perniagaan dinilai oleh juri penilai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 12:56 PM