RAMANAN (tengah) ketika sesi taklimat ketika lawatan beliau ke SKM di Menara Suruhanjaya Koperasi Malaysia. FOTO Asyraf Hamzah
RAMANAN (tengah) ketika sesi taklimat ketika lawatan beliau ke SKM di Menara Suruhanjaya Koperasi Malaysia. FOTO Asyraf Hamzah
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) membatalkan 500 koperasi tidak aktif sepanjang tahun lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, tindakan berkenaan berikutan koperasi itu bermasalah termasuk pengurusan mereka gagal dihubungi.

"Tahun lalu SKM membatalkan 500 koperasi yang mana tindakan ini bukan SKM berniat batalkan macam itu (suka-suka) sahaja tetapi saya dimaklumkan sukar mencari Pengerusi, Setiausaha Agung selain alamat bertukar dan tidak dapat dikesan.

"Di sebalik itu juga SKM membuat pencapaian apabila 1,001 koperasi baharu ditubuhkan berbanding 600 sasaran tahun lalu selain sebanyak 92 koperasi dibaik pulih," katanya selepas mengadakan lawatan di Menara SKM di sini, hari ini.

Beliau disambut Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Rusli Jaafar.

Sementara itu, setakat 31 Disember lalu, 15,809 koperasi berdaftar di bawah SKM dengan 7.31 juta orang keahlian.

"Jumlah modal syer atau yuran pula sebanyak RM16.98 bilion, jumlah aset RM159.61 bilion dengan nilai perolehan berjumlah RM45.50 bilion.

"SKM juga bukan sahaja bekerjasama dengan koperasi dalam negara, malah mereka berkolaborasi dengan negara luar seperti India, Korea Selatan, Kemboja, Switzerland dan Indonesia," katanya.

Dalam pada itu, SKM menyediakan Kemudahan Tabung Modal Pusingan bernilai RM100 juta membabitkan lapan jenis pembiayaan ditawarkan kepada koperasi.

"Ia membabitkan Pembiayaan Biasa, Pembiayaan Khas Tanpa Cagaran (PKTC), Pembiayaan Koperasi Mikro (MicCoopFi-1), Pembiayaan Permulaan (SuFi-1), Pembiayaan Lestari (LesFi-1), Pembiayaan 100 Koperasi Terbaik (Best100Fi-1), Good Pay Master Financing (GPMFi-1) dan Pembiayaan Agromakanan (AFi).

"SKM juga memperuntukan RM11.75 juta bagi melaksanakan program pembangunan untuk manfaat koperasi di Malaysia.

"Jumlah itu membabitkan Program Pembangunan Perniagaan sebanyak RM6.75 juta, Program Pemerkasaan Rantaian Bekalan Koperasi sebanyak (RM2 juta) dan Program Penggalakan Koperasi sebagai Social Enterprise (SE) bernilai RM3 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2024 @ 2:54 PM