Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank, Datuk Paduka Syed Mashafuddin Syed Badarudin (dua dari kanan) pada majlis memperkenalkan AFFINWRKFZ. - FOTO NSTP/Aziah Azmee
Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank, Datuk Paduka Syed Mashafuddin Syed Badarudin (dua dari kanan) pada majlis memperkenalkan AFFINWRKFZ. - FOTO NSTP/Aziah Azmee
Mahanum Abdul Aziz


Kuala Lumpur: Affin Group memperkenalkan penyelesaian pembayaran gaji baharu dikenali AFFINWRKFZ yang menyepadukan produk dalam kumpulan merangkumi pekerja, majikan dan perniagaan.

Pengarah Eksekutif Perbankan Komuniti Kumpulan Affin Bank Bhd, Fairuz Radi berkata, AFFINWRKFZ direka untuk memenuhi keperluan pemilik perniagaan, operasi dan pekerja mereka.

Beliau berkata, pengenalan penyelesaian terkini itu adalah untuk mengukuhkan cadangan nilai kumpulan perbankan itu untuk pelanggan korporat, individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan komersial.

Katanya, sehingga November 2023, pihaknya mencatatkan kira-kira 80,000 syarikat yang terdiri daripada pelanggan korporat dan komersial dan PKS.

Katanya, daripada jumlah itu, hanya 53 peratus mendaftar dengan AFFINMAX, platform perbankan internet korporat kumpulan, sementara kurang lima peratus daripada AFFINMAX menggunakan perkhidmatan pembayaran gaji.

"Oleh itu, ia akan menjadi peluang dan potensi bagi kami untuk menukar pelanggan AFFINMAX untuk menggunakan penyelesaian pembayaran gaji kami," katanya pada pengenalan AFFINWRKFZ di sini, hari ini.

Fairuz berkata, pihaknya telah meningkatkan strategi pergi ke pasaran dengan AFFIN Workforce, penyelesaian perbankan bersepadu yang memfokuskan pada manfaat pembayaran gaji, dan pengekalan akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) untuk majikan, pekerja dan perniagaan.

Beliau berkata, kerjasama dengan rakan kongsi strategik dalam titik jualan Sumber Manusia (HR), perakaunan dan e-dagang meningkatkan cadangan, sekali gus menawarkan pelanggan penyelesaian reka bentuk digital hujung ke hujung yang lengkap.

"Segmen pelanggan sasaran kami termasuk pemilik perniagaan dengan produk gaya hidup eksklusif, memanfaatkan platform perbankan internet korporat AFFINMAX kami, dan SME Colony untuk operasi perniagaan dan produk khusus bagi pekerja dengan menggunapakai perbankan internet runcit atau aplikasi mudah alih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 5:16 PM