Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak tindakan segelintir Ahli Parlimen yang mempertikaikan usaha kerajaan melaksanakan perubahan termasuk dalam penyasaran subsidi serta skim pencen.

Perdana Menteri berkata, ada Ahli Parlimen yang mempersoalkan usaha terbabit kerana mendakwa dalam kalangan mereka terdiri daripada golongan B40.

"Islam menganjurkan perubahan dan kemajuan, Islam anjur integriti dan tata kelola yang baik tetapi Islam dibicarakan, apabila kita sebut tata kelola amalan sakau, dia sangsi.

"Ada Ahli Parlimen kata kenapa nak perubahan, apabila (kita buat) penyasaran subsidi dan perubahan sistem pencen, dia kata tak boleh kerana Ahli Parlimen ada yang B40. Itu cakap apa? Gaji puluh ribu dengan elaun, masih B40. Dia ini cakap dari benua mana?" katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama Warga Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.

Anwar berkata, kerajaan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk kesejahteraan rakyat terutama dalam menangani isu kos sara hidup, menentang 'kartel' selain memaksa supaya harga beras import diturunkan.

"Saya tidak katakan saya sudah sempurna, saya juga ada kelemahan tetapi saya cuba sedaya upaya untuk memperbetulkan kesilapan lampau dan memang bukan mudah kerana serangan daripada tauke besar, orang yang dah kumpul kekayaan berbilion (ringgit) itu kuat, dia pengaruhi media sosial, boleh beli ramai orang dalam Facebook atau TikTok.

"Tetapi saya kata tiada makna saya jadi ketua dan pemimpin kalau saya tak sanggup hadapi risiko itu kerana saya nak selamatkan negara daripada amalan curang.

"Saya yakin Malaysia dengan kekuatan Melayu, Cina, India, Dayak semuanya kalau (dalam) semangat kesatuan, hindari api perkauman, agama yang sempit, kita boleh maju," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 11:07 AM