MESKIPUN dalam persekitaran kelembapan ekonomi global, ekonomi Malaysia masih mampu berkembang 3.3 peratus pada suku ketiga 2023 dan dijangka tumbuh pada 4.0 peratus secara keseluruhan pada tahun ini.
MESKIPUN dalam persekitaran kelembapan ekonomi global, ekonomi Malaysia masih mampu berkembang 3.3 peratus pada suku ketiga 2023 dan dijangka tumbuh pada 4.0 peratus secara keseluruhan pada tahun ini.
BERNAMA

TAHUN 2023 terbukti menjadi tempoh mencabar bagi ekonomi global serta Malaysia, diasak oleh faktor seperti ketegangan geopolitik yang berlanjutan, pengetatan dasar monetari bagi menangani inflasi serta peningkatan risiko kelembapan ekonomi di serata dunia.

Ini disukarkan lagi oleh ketidaktentuan dialami oleh negara-negara utama dengan tempiasnya turut dirasai oleh kalangan negara-negara sedang pesat membangun selain menjejaskan dinamik dagangan yang sedia mencabar akibat ketegangan perdagangan yang berlanjutan.

Sudah pasti, bahang itu turut dirasai Malaysia yang tidak kebal daripada perkembangan global berikutan ciri ekonominya yang terbuka dan bergantung kepada perdagangan.

Bagaimanapun, sebagaimana ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, struktur ekonomi Malaysia yang pelbagai serta asas kukuh yang dibina selama ini, meningkatkan daya tahan ekonomi serta meletakkan negara di landasan pertumbuhan yang stabil.

"Faktor-faktor positif ini yang disokong oleh dasar dan pelan tindakan kukuh bertunjangkan kerangka Ekonomi Madani serta pelaksanaan berterusan langkah-langkah dan inisiatif pragmatik ditetapkan oleh kerajaan, akan memastikan ekonomi kita kukuh dan juga berdaya tahan.

"Walaupun sektor luaran kekal penting, pertumbuhan kini semakin didorong oleh permintaan domestik," kata beliau yang juga Menteri Kewangan dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2024 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada Oktober lalu.

Malah, ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara baru-baru ini, Anwar berkongsi kejayaan Malaysia meraih komitmen pelaburan dengan nilai RM347 bilion sepanjang lawatan rasmi serta misi perdagangan dan pelaburan beliau di luar negara, tahun ini.

Perdana Menteri berkata, komitmen itu diraih di China, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Amerika Syarikat.

"Komitmen pelaburan ini agak tinggi dan amat memberangsangkan sama ada hasil lawatan dan hasil usaha agensi-agensi kerajaan termasuk Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti)," kata beliau.

Pada masa sama, kerajaan meluluskan pelaburan bernilai RM132.6 bilion pada separuh pertama 2023 yang melebihi 60 peratus daripada sasaran tahun ini.

Pencapaian lain adalah jumlah perdagangan Malaysia yang berjaya melepasi paras RM2 trilion bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini, mencecah RM2.181 trilion dengan eksport berjumlah RM1.186 trilion, manakala import bernilai RM995.55 bilion.

Jika diamati, meskipun dalam persekitaran kelembapan ekonomi global, ekonomi Malaysia masih mampu berkembang 3.3 peratus pada suku ketiga 2023 dan dijangka tumbuh pada 4.0 peratus secara keseluruhan pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 6:10 AM