Oleh Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Malaysia mencatatkan penurunan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak 7.4 peratus pada tahun lalu berbanding 2013 seiring dengan kejatuhan FDI global yang direkodkan sebanyak 16 peratus.

Bagaimanapun, kemerosotan angka FDI pada tahun lalu itu tidak mencerminkan penurunan sentimen pelaburan asing ke Malaysia apabila Malaysia berada di tempat ke-20 dalam kalangan 144 negara lain dalam Laporan Kompetitif Global 2014-2015.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tahun lalu, Malaysia mencatatkan RM35.3 bilion FDI dan menjangkakan pada tahun ini akan berlaku pertumbuhan kecil, namun peratusan unjuran tidak dapat dinyatakan.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai asas ekonomi yang kukuh untuk mengekalkan momentum pertumbuhan positif bersandarkan kepada beberapa faktor antaranya kemasukan FDI yang setakat 15 Jun ini merekodkan sebanyak RM28.8 bilion oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Malah, Malaysia kini lebih kepada negara pengeksport pelaburan berbanding sebuah negara penerima FDI memandangkan sejak lebih lima tahun kebelakangan ini, jumlah pelaburan asing dilakukan oleh syarikat-syarikat tempatan mengatasi jumlah kemasukan FDI ke Malaysia.

“Syarikat-syarikat tempatan seperti Petroliam Nasional Bhd dan syarikat sokongan perkhidmatan minyak dan gas, CIMB Group, Maybank dan Axiata banyak melakukan pelaburan luar dari Malaysia,” katanya selepas melancarkan Laporan Pelaburan Dunia 2015 di sini, semalam.

Laporan itu dikeluarkan oleh Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) yang melaporkan bahawa FDI global merosot 16 peratus kepada RM4.6 trilion pada tahun lalu daripada RM5.5 trilion pada 2013 berikutan kelembapan ekonomi, ketidaktentuan polisi kepada pelabur dan peningkatan risiko geopolitik.

Mustapa berkata, pihaknya yakin Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan syarikat asing bersandarkan kepada penstrukturan ekonomi yang dilakukan oleh kerajaan antaranya penumpuan kepada pengetahuan tinggi, nilai tambah dan industri teknologi tinggi.

“Kami akan memberi tumpuan dalam memastikan kemasukan FDI berkualiti dan bernilai tambah tinggi berterusan termasuk menyokong syarikat tempatan yang membuat pelaburan asing untuk lebih berjaya di peringkat global,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 6:43 AM