PELANCONGAN Islam kini pasaran yang semakin berkembang dalam industri pelancongan dengan populasi umat Islam yang semakin bertambah saban tahun. FOTO Arkib NSTP
PELANCONGAN Islam kini pasaran yang semakin berkembang dalam industri pelancongan dengan populasi umat Islam yang semakin bertambah saban tahun. FOTO Arkib NSTP
Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) menjalinkan kerjasama strategik bersama Persatuan Pelancongan Indonesia dalam usaha memajukan industri pelancongan Islam di peringkat global.

Presidennya, Datuk Dr Mohd Khalid Harun berkata, pihaknya mengadakan lawatan kerja selama dua hari ke Jakarta bagi menandatangani persefahaman dan bergabung dengan beberapa persatuan pelancongan di Indonesia.

Menurutnya, ia membabitkan Persatuan Agensi Pelancongan Indonesia (ASITA), Forum Pelancongan Halal Indonesia, Komuniti Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Persatuan Muslim Penyelenggara Haji dan Umrah Republik Indonesia (AMPUHRI), Institut Latihan Halal Indonesia (FHT Institue) dan Perkumpulan Pariwisata Halal Indonesia (PPHI).

"Kerjasama persefahaman ini akan menguntungkan kedua-dua negara bagi mempromosikan produk pelancongan Islam sekali gus meningkatkan pendapatan ekonomi negara.

"Pelbagai kerjasama promosi akan dirancang oleh MATA dan persatuan pelancongan berkenaan bagi menarik lebih ramai lagi pelancong Islam untuk berkunjung kedua-dua negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihaknya sedar pelancongan Islam yang dipelopori Malaysia mempunyai banyak persaingan dengan negara di Timur Tengah dan pelancongan Islam juga industri yang semakin diberi perhatian oleh negara jiran seperti Indonesia.

"Dengan persaingan yang ada, Malaysia perlu bekerjasama dengan negara tetangga bagi mengadakan pakej Muslim dan mesra Muslim dengan mengetengahkan kepelbagaian etnik, budaya, makanan dan fasilitasi di kedua-dua negara dapat menarik minat pelancongan Islam untuk berkunjung.

"Segmen pelancongan Islam yang pantas berkembang membuka peluang besar tetapi untuk memanfaatkannya, kita perlu memahami keperluan dan pilihan pelancong Islam dan cara menyesuaikannya serta serasikan produk selain perkhidmatan bagi memenuhi keperluan itu," katanya.

Dr Mohd Khalid berkata, pelancongan Islam kini pasaran yang semakin berkembang dalam industri pelancongan dengan populasi umat Islam yang semakin bertambah saban tahun dan dianggarkan melebihi dua bilion di seluruh dunia.

Menurutnya, nilai pasaran pelancongan Islam di seluruh dunia menjanakan 194 bilion dolar Amerika Syarikat (AS) dan akan terus berkembang dan akan mencapai 300 bilion dolar AS pada 2026.

"Menurut data yang diperolehi, seramai 2.12 juta pelancong Muslim ke negara Malaysia pada 2022 dengan jumlah perbelanjaan oleh pelancong Muslim sebanyak RM5.37 bilion," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 11:28 AM