LEBIH 140 juta makanan dijangka diperlukan di Perkampungan Atlet Olimpik.
LEBIH 140 juta makanan dijangka diperlukan di Perkampungan Atlet Olimpik.
BERNAMA

KUALA LUMPUR: Eksport halal Malaysia ke Jepun dijangka meningkat pada tahun ini berbanding RM2.5 bilion yang direkodkan pada tahun lalu, disokong oleh pelancongan halal yang berkembang selain persediaan menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Wan Latif Wan Musa berkata, inisiatif Rantaian Nilai Halal Perdagangan Digital bagi Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dilancarkan semalam juga akan membantu meningkatkan jumlah eksport halal.

Inisiatif berkenaan bertujuan mempromosi eksport Malaysia ke Jepun dengan memanfaatkan potensi permintaan tinggi ke atas produk dan perkhidmatan halal daripada kira-kira lapan juta Muslim yang dijangka melawat Jepun bersempena sukan itu.

“Menerusi hubungan erat antara Malaysia dengan Jepun dan kredibiliti kukuh produk dan perkhidmatan halal Malaysia yang memiliki pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, kami yakin Malaysia mempunyai kedudukan lebih cerah sebagai penyedia utama produk dan perkhidmatan halal pada Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran inisiatif itu, semalam.

Ia dilancarkan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lokman Hakim Ali.

Mengulas selanjutnya, Wan Latif berkata, Jepun menunjukkan minat untuk mendapatkan produk dan perkhidmatan halal bagi kemudahan pelancong dan atlet Muslim bersempena acara sukan utama itu.

“Lebih 140 juta makanan dijangka diperlukan di Perkampungan Atlet Olimpik dan kira-kira 720 hidangan makanan halal dalam bungkusan kecil akan disediakan sepanjang acara itu,” katanya.

Menurutnya, inisiatif berkenaan akan meningkatkan bidang ekosistem utama seperti logistik, analisis data, runcit, pensijilan, pengagihan makanan serta pelancongan.

Inisiatif itu juga menyaksikan penubuhan Jawatankuasa Eksport dan Promosi Halal Malaysia yang terdiri daripada wakil sektor awam dan swasta.

Jawatankuasa diketuai Matrade itu ditugaskan membangunkan halatuju strategik bagi menangani jurang dan peluang pengeksport Malaysia untuk membekalkan produk dan perkhidmatan halal pada sukan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 6:56 AM