Matrade
Matrade

Kuala Lumpur: Sebanyak 37 syarikat Malaysia menyertai Pameran Perdagangan dan Hospitaliti Hong Kong (Hofex) 2023 iaitu kali pertama pameran perdagangan antarabangsa dwitahunan itu diadakan di Hong Kong selepas pandemik.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata, syarikat-syarikat berkenaan mempamerkan pelbagai produk makanan yang terdiri daripada makanan kesihatan dan fungsian, produk sedia makan dan sedia minum, sos dan pes, ramuan makanan, durian dan produk berasaskan durian serta produk sarang burung.

Penyertaan banyak syarikat dalam Hofex membuktikan minat yang kukuh dalam kalangan jenama Malaysia untuk memanfaatkan pameran tersebut sebagai platform untuk mengakses pasaran seperti Hong Kong, China dan Asia Timur Laut, katanya dalam kenyataan semalam.

Sebanyak 95 peratus produk bagi pasaran makanan dan minuman (F&B) Hong Kong telah diimport, kata Matrade sambil memaklumkan bahawa bandar itu juga adalah hab perdagangan utama untuk mengeksport semula barangan ke China, Macau dan pasaran sekitar lain di Asia.

"Malah minat yang semakin meningkat bagi F&B halal di pasaran adalah disebabkan konsepnya yang bersih dan selamat," kata agensi itu.

Sehubungan itu, Matrade menerusi pejabatnya di Hong Kong – menghubungkan pengimport dan pengedar tempatan yang dilihat berpotensi untuk mendapatkan produk daripada pempamer Malaysia yang menyertai acara tersebut.

Acara yang diadakan bermula 10 hingga 12 Mei di Pusat Konvensyen dan Pameran Hong Kong itu membawakan lebih daripada 1,200 jenama antarabangsa dan 25,000 pembeli.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 7:54 AM