FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

INOVASI sudah membantu mengekalkan daya saing serta momentum pertumbuhan global industri makanan dan minuman (F&B) Malaysia.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata, industri F&B dapat memanfaatkan iklim tropika negara yang memungkinkan penanaman tanaman berskala komersial sepanjang tahun, selain daripada sokongan populasi berbilang budaya dan varian masakan.

"Selain memenuhi permintaan pengguna global, Malaysia juga dapat menampung kehendak pengguna yang mencari alternatif makanan organik dan lebih sihat termasuk makanan mengandungi komponen bioaktif yang bermanfaat kepada kesihatan serta berpotensi mengurangkan risiko penyakit kronik.

"Malaysia juga diakui sebagai peneraju dunia dalam bidang pengeluaran dan pemprosesan makanan halal dengan sistem pensijilan diperakui secara global yang memberikan jaminan keselamatan termasuk produk yang berkualiti," katanya dalam kenyataan.

Katanya, eksport makanan proses Malaysia pada 2020 bernilai RM21.24 bilion (AS$5.06 bilion) dengan destinasi eksport utama adalah Singapura, China, Amerika Syarikat, Indonesia, dan Thailand.

"Makanan proses antara produk utama yang bersumberkan dari Malaysia oleh beberapa negara di Asean, Asia Barat dan Afrika.

"Pengembangan dan transformasi pengeluaran makanan, bersama pertumbuhan makanan halal serta industri pemprosesan makanan secara menyeluruh menunjukkan keluasan peluang yang ada dalam penyumberan daripada pengeluar Malaysia," katanya.

Sementara itu, Matrade memberikan bantuan dengan memastikan syarikat Malaysia terus mengambil bahagian dalam pameran perdagangan global seperti Gulfood Dubai, Foodex Tokyo, SIAL Paris serta ANUGA Cologne.

Perbadanan itu juga mengadakan pertemuan maya dalam tempoh pergerakan terhad ini melalui program eBizMatch antara pembekal Malaysia dan bakal pembeli.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Ogos 2021 @ 7:10 AM