KENAIKAN Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 3.00 peratus dilihat amat memberi kesan kepada peminjam yang mempunyai pinjaman dengan pihak bank kerana Kadar Asas Pembiayaan (BFR) bagi perbankan Islam dan Kadar Asas Pinjaman (BLR) bagi perbankan konvensional akan berubah.
KENAIKAN Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 3.00 peratus dilihat amat memberi kesan kepada peminjam yang mempunyai pinjaman dengan pihak bank kerana Kadar Asas Pembiayaan (BFR) bagi perbankan Islam dan Kadar Asas Pinjaman (BLR) bagi perbankan konvensional akan berubah.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KENAIKAN Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 3.00 peratus dilihat amat memberi kesan kepada peminjam yang mempunyai pinjaman dengan pihak bank kerana Kadar Asas Pembiayaan (BFR) bagi perbankan Islam dan Kadar Asas Pinjaman (BLR) bagi perbankan konvensional akan berubah.

Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, dalam erti kata lain sesiapa yang mempunyai pinjaman atau pembiayaan perumahan, peribadi, kereta dan beberapa lagi produk bank akan berdepan kenaikan bayaran bulanan berbanding sebelum ini.

Namun katanya, masyarakat juga perlu memahami bahawa kesan ini bukan bersifat kekal kerana sekiranya di masa akan datang OPR dikurangkan, maka kadar pinjaman dan pembiayaan tadi akan mengalami pengurangan.

"Ramai tidak menyangka BNM akan menaikkan kadar OPR secepat ini memandangkan masyarakat Islam baharu sahaja menikmati perayaan Aidilfitri.

"Tahun lalu, kerajaan sudah menaikkan OPR sebanyak empat kali bertujuan mengawal ekonomi Malaysia agar lebih mampan dan kukuh bagi mendepani isu ekonomi seperti inflasi.

"Hasilnya kita dapati ekonomi negara menerima impak positif namun kenaikkan OPR kepada 3.0 peratus berbanding sebelum ini (2.75 peratus) memeranjatkan banyak pihak.

"Apa yang lebih menarik dengan kenaikan OPR ini adalah pelanggan yang mempunyai pinjaman atau pembiayaan dengan perbankan Islam dilihat mempunyai kelebihan berbanding pelanggan yang berurusan dengan perbankan konvensional kerana dalam perbankan Islam terdapat dua jenis kadar pembiayaan iaitu kadar pembiayaan berubah (floating rate) dan kadar pembiayaan tetap (fixed rate).

"Sekiranya pelanggan memilih kadar pembiayaan berubah maka kenaikan OPR menyebabkan kenaikan dalam bayaran balik pembiayaan yang dilakukan sehingga kenaikan ini mencecah nilai siling dipersetujui antara peminjam dan pihak bank, sebaliknya jika berlaku penurunan OPR maka ini akan menyebabkan pengurangan dalam bayaran balik pembiayaan," katanya.

MOHD Faisol Ibrahim
MOHD Faisol Ibrahim

Beliau berkata, sebaliknya jika pelanggan memilih pembiayaan berkadar tetap, maka kenaikan OPR ini tidak akan menjejaskan sedikitpun bayaran balik pembiayan yang dilakukan sebelum ini kerana kadarnya adalah sama dan tidak berubah.

Menurutnya, mereka yang terkesan dengan kenaikan OPR ini perlu bijak dalam menguruskan kewangan supaya tidak dibebani dengan perbelanjaan tidak perlu yang bersifat kehendak dan bukan keperluan hidup.

Selain itu, beliau berkata kenaikan OPR ini turut memberi kesan kepada kerajaan kerana kenaikan OPR bukan diputuskan oleh kerajaan sebaliknya Bank Negara Malaysia (BNM) yang bertanggungjawab mengawal kewangan negara supaya kukuh dan stabil demi kesejahteraan negara secara umumnya.

"Kenaikan OPR ini akan menyebabkan kadar inflasi negara menjadi semakin baik dan secara tidak langsung kenaikan harga barangan dapat dikawal secara total.

"Ia juga sedikit sebanyak membantu dalam meningkatkan nilai ringgit itu sendiri. Kenaikan OPR kepada 3.0 peratus masih dianggap tidak tinggi kerana masyarakat Malaysia pernah berhadapan dengan kadar OPR 3.25 peratus pada 2018 manakala pada 2019 kadar OPR adalah 3.0 peratus," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kemungkinan berlaku kenaikan OPR pada Julai nanti, Mohd Faisol berkata, ramai ahli ekonomi menjangkakan kenaikan OPR akan berlaku pada Julai nanti dan bukan pada Mei.

"Tindakan BNM menaikkan kadar OPR kepada 3.0 peratus lebih awal daripada jangkaan dilihat mampu membendung situasi ekonomi ke arah yang lebih baik dan kukuh.

"Oleh itu saya berpandangan pada Julai nanti, OPR tidak lagi akan dinaikkan sekiranya kesan kenaikan OPR Mei ini menunjukkan trend yang positif kepada ekonomi dan kewangan negara.

"Sebaliknya OPR mungkin akan disemak semula sekiranya ekonomi Malaysia masih tidak menunjukkan perkembangan lebih baik berbanding sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 7:00 AM