PEMILIK rumah turut terkesan dengan kenaikan OPR.
PEMILIK rumah turut terkesan dengan kenaikan OPR.
PENGELUARAN simpanan KWSP boleh digunakan untuk bayar pokok pinjaman.
PENGELUARAN simpanan KWSP boleh digunakan untuk bayar pokok pinjaman.
Nurul Husna Mahmud


KENAIKAN Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada tiga peratus oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini memberi kesan tidak langsung kepada komitmen bulanan yang perlu ditanggung pemilik hartanah.

Tanggapan ramai mengenai kadar kenaikan itu kembali ke jumlah asal iaitu kadar bulanan perlu dijelaskan sebelum pandemik Covid-19, mungkin berbeza bagi segelintir penerima pembiayaan terbabit.

Bagaimanapun, kenaikan kadar yang dikatakan wajar itu masih dirasakan satu bebanan kepada pemilik rumah apatah lagi kos sara diri yang masih tinggi.

Menurut Pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Profesor Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali, pemilik rumah perlu mencari solusi bagi menangani komitmen bayaran bulanan pembiayaan rumah yang meningkat.

"Ramai berfikiran kenaikan OPR akan kembali ke jumlah asal iaitu kadar sebelum pandemik, tetapi apabila mendapat penyata bayaran terkini perlu dilunaskan ada yang menerima kadar lebih tinggi.

"Pemilik rumah perlu mengetahui kadar bayaran lebih tinggi daripada sepatutnya kerana moratorium yang mana penangguhan pembayaran ansuran bulanan pembiayaan rumah juga mempengaruhi kadar bayaran terkini.

"Apabila penangguhan bermakna ada penambahan kadar faedah yang mana juga mengubah kadar perlu dibayar oleh pemilik rumah kepada bank," katanya.

Jika pemilik terkesan, pakar itu menyarankan beberapa langkah boleh diambil dalam mengurangkan kadar ansuran bulanan terhadap bank.

KADAR ansuran rumah turut terkesan dengan kenaikan kadar OPR diumumkan BNM.
KADAR ansuran rumah turut terkesan dengan kenaikan kadar OPR diumumkan BNM.

"Ada kaedah tertentu boleh dilakukan untuk menurunkan kadar pembiayaan selepas kenaikan OPR. Kaedah terbaik adalah dengan mengecilkan jumlah pokok (principal) pinjaman dan kaedah penstrukturan kembali pinjaman menerusi pembiayaan semula.

"Dua kaedah ini bergantung kepada tahap kemampuan dan kewangan pemilik rumah kerana tidak semuanya ada tabung kecemasan atau simpanan khas," katanya.

Dalam pengurangan jumlah pokok pinjaman, kata Dr Nuradli, ada beberapa cara dan antaranya menggunakan simpanan sedia ada atau bonus.

"Pemotongan jumlah pokok pinjaman bermaksud faedah juga berkurangan dan hutang juga mengecil. Ini juga menyebabkan kadar ansuran lebih rendah daripada jumlah bulanan asal.

"Kalau ada simpanan contohnya tabungan RM10,000 hingga RM20,000 gunakan dahulu untuk pembayaran pokok pinjaman.

KADAR ansuran rumah turut terkesan dengan kenaikan kadar OPR diumumkan BNM.
KADAR ansuran rumah turut terkesan dengan kenaikan kadar OPR diumumkan BNM.

"Jika majikan ada bagi ganjaran bonus sebulan dua gaji, gunakan juga untuk bayar pokok pinjaman. Sebaiknya konsisten setiap tahun supaya boleh nampak penurunan ketara terhadap nilai pinjaman," katanya.

Kaedah kedua, pokok pinjaman dapat dikurangkan dengan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Andai akaun kedua simpanan banyak, disarankan pengeluaran untuk pengurangan kadar pokok pinjaman. Langkah ini berkesan untuk membantu pengurangan ansuran pembiayaan rumah," katanya.

Kaedah kedua iaitu dengan penstrukturan kembali pembiayaan rumah seperti skim pembiayaan semula tidak digalakkan.

"Memang pembiayaan semula juga antara kaedah digunakan pemilik rumah untuk mengurangkan kadar ansuran, tetapi lebih berisiko.

"Tindakan itu mencipta hutang baru kerana kebiasaannya bank menilai semula kadar semasa dan jika ada peningkatan, pemilik akan menerima tunai.

"Tetapi, ada hutang baru yang dibuat dan tindakan itu berisiko melainkan ada kaedah membantu pemilik rumah menggunakan hasil tunai pembiayaan semula untuk menjana keuntungan.

"Penting sebenarnya menilai rumah sedia ada aset atau liabiliti yang mana juga menjadi penentu kepada tadbir urus kewangan sihat atau tidak sihat," katanya.

Pakar itu menyarankan untuk tingkatkan pengetahuan kewangan supaya setiap individu termasuk pemilik hartanah dapat membuat pertimbangan wajar dalam situasi terdesak atau memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 6:20 AM