VIBHA Coburn. FOTO
VIBHA Coburn. FOTO
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Manulife Malaysia Holdings Bhd, kekal kukuh dalam situasi pasaran yang mencabar apabila merekodkan pertumbuhan perniagaan sebanyak 1.3 peratus pada 2022, mengatasi prestasi keseluruhan sektor insurans yang menyusut.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Vibha Coburn berkata, segmen bankasuransnya merekodkan pertumbuhan 17 peratus dalam setara premium tahunan (APE), walaupun pasaran menyusut sebanyak 7.0 peratus.

Katanya, didorong oleh momentum 2022, Manulife Malaysia menjangka untuk meneruskan inovasi reka bentuk produknya dan meningkatkan usahanya untuk mewujudkan lebih banyak kesedaran penyelesaian kesihatan, simpanan dan persaraan.

"Kami akan memberi tumpuan kepada nilai dan kualiti, Manulife Malaysia komited untuk menyediakan tenaga agensi yang profesional dan dibolehkan secara digital untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan.

"Pelanggan kami sentiasa menjadi teras kepada apa yang kami lakukan, dan melalui penyelesaian serta perkhidmatan kami, kami berpeluang untuk menjadikan kehidupan seharian rakyat Malaysia lebih baik," katanya.

Menurutnya, syarikat komited membantu rakyat Malaysia mempunyai masa depan kewangan yang lebih baik.

Beliau berkata, Manulife akan terus menuju ke arah pertumbuhan yang ketara dan setakat ini, ia sudah menjadi antara ketiga terbaik dunia dalam kalangan penanggung insurans antarabangsa dari segi Million Dollar Round Table (MDRT).

Selain itu, Manulife turut mempercepatkan sokongan digital untuk ejennya melalui pengenalan platform dalam talian, ePOS-On-The-Go.

Platform ini membolehkan pelanggan mengakses untuk memuat naik dokumen, menandatangani borang dan membuat pembayaran dalam talian pada bila-bila masa, dengan selamat.

Dengan kehadiran selama 60 tahun di Malaysia, Manulife mendapat sokongan antarabangsa yang kukuh daripada ibu pejabat globalnya di Toronto, Kanada.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2023 @ 3:00 PM