KETUA Pegawai Eksekutif AIA PUBLIC Takaful, Elmie Aman Najas. FOTO Salhani Ibrahim
KETUA Pegawai Eksekutif AIA PUBLIC Takaful, Elmie Aman Najas. FOTO Salhani Ibrahim
Nabil Basaruddin

HIDUP lebih sihat, umur yang panjang dan kehidupan bermakna adalah antara impian setiap individu di dunia ini, baik tua mahupun muda.

Semua itu mampu dicapai apabila ia disertakan bersama amalan gaya hidup yang seimbang termasuk penjagaan kesihatan dan mendapatkan perlindungan kewangan secukupnya bagi setiap orang.

Menyedari akan keperluan itu, AIA PUBLIC Takaful Bhd. (AIA PUBLIC Takaful) berhasrat merealisasikan impian itu melalui janji jenamanya untuk membantu rakyat Malaysia hidup dengan lebih sihat, berpanjangan dan bermakna.

Ini mencerminkan pendirian syarikat sebagai pengendali takaful yang bukan lagi hanya memberi tumpuan kepada perkara berkaitan kesakitan malah lebih fokus terhadap tahap kesihatan dan kesejahteraan individu secara menyeluruh.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Elmie Aman Najas berkata, AIA PUBLIC Takaful bukan sekadar berkhidmat kepada pelanggan hanya pada satu hari atau ketika kecemasan sebaliknya bersama pelanggan sepanjang perjalanan mereka menempuh pelbagai peringkat kehidupan.

“Kami percaya, menerusi inovasi produk yang menggabungkan program AIA Vitality, kami dapat mendorong pelanggan melakukan perubahan tingkah laku yang positif agar dapat menikmati kehidupan yang lebih bermakna.

“Kami sentiasa proaktif dalam peranan kami sebagai pengendali takaful yang prihatin terhadap kesejahteraan komuniti dan menyokong mereka untuk kekal aktif,” katanya dalam satu temu bual bersama Bisnes Metro.

Malah, katanya, sejak pelancaran AIA Vitality pada 2016, pihaknya melihat pembabitan yang aktif daripada ahlinya yang kini mencecah sehingga 91,000 individu dengan pelbagai maklum balas yang positif.

Dalam merealisasikan janji jenama dan komitmen selaku pengendali takaful, AIA PUBLIC Takaful turut menawarkan produk yang memenuhi keperluan perlindungan pelanggan mengikut kemampuan dan situasi masing-masing.

Antaranya adalah pelan perubatan patuh shariah, A-Plus Health-i yang menampilkan ciri Health Wallet yang belum pernah ditawarkan oleh mana-mana pelan takaful mahupun pelan kesihatan di Malaysia.

Katanya, bagi setiap tahun apabila pelanggan tidak membuat sebarang tuntutan daripada A-Plus Health-i, sejumlah amaun akan dikreditkan ke dalam dompet kesihatan itu sehingga 10 kali.

Pelanggan kemudiannya dapat menggunakan jumlah itu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, mendapatkan suntikan vaksin dan perbelanjaan penjagaan kesihatan yang kebiasaannya tidak dilindungi oleh pelan perubatan.

“Ini adalah pelan perubatan pertama dalam pasaran yang menawarkan perlindungan kesihatan yang lengkap kepada pelanggan dan menyokong mereka dalam pelbagai peringkat kesihatan seperti pencegahan, penghospitalan dan pemulihan,” jelasnya.

Selain itu, AIA PUBLIC Takaful juga menawarkan produk perlindungan yang lain seperti A-Life Kasih Famili dan A-Life Medik Famili yang dibangunkan untuk memberi perlindungan hayat dan perubatan kepada seisi keluarga pada harga mampu milik. AIA PUBLIC Takaful turut menyediakan perlindungan takaful kepada golongan berpendapatan isi rumah di bawah 40 peratus (B40) menerusi pelan AIA i-Starter yang ditawarkan di bawah inisiatif Perlindungan Tenang dengan caruman serendah RM3 setiap bulan.

Usaha-usaha ini sekali gus dapat membantu merapatkan jurang perlindungan dalam kalangan rakyat Malaysia kerana pada 2018, kadar penembusan takaful penduduk negara ini hanya pada kadar 15.2 peratus.

Elmie berkata, bagi merealisasikan sasaran agar setiap individu mendapat perlindungan takaful yang sewajarnya, pihak syarikat terus komited dalam melatih dan merekrut ejen baharu atau lebih dikenali sebagai Perancang Hayat melalui inisiatif AIA Elite Academy seterusnya memperkasakan mereka untuk menjadi lebih cemerlang dan profesional dalam memacu industri.

AIA PUBLIC Takaful yang kini mempunyai seramai 8,000 ejen adalah pengendali takaful pertama yang memperkenalkan program AIA Elite Academy untuk melahirkan Perancang Hayat dengan set kemahiran yang tepat dan berpengetahuan luas.

“Sebagai syarikat yang prihatin terhadap pembangunan profesional dan peribadi Perancang Hayat, kami sentiasa menitikberatkan aspek latihan dan bimbingan dan telah melabur sebanyak RM200 juta bagi program ini kerana kami percaya bahawa latihan amat penting untuk mengukuhkan asas mereka sebagai seorang Perancang Hayat yang berkaliber, profesional dan beretika. Mereka akan dibimbing melalui program permentoran selain didedahkan dengan penggunaan teknologi terbaik,” katanya.

Lebih menarik lagi, mereka juga akan ditawarkan dengan skim pembiayaan kewangan bagi membantu mereka untuk memulakan kerjaya sebagai ejen di samping membentuk mereka sebagai seorang usahawan yang berjaya.

AIA Elite Academy bukan saja berperanan sebagai program latihan, malah turut menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda di negara ini serta berfungsi sebagai platform untuk membantu ejen mencapai pengiktirafan di peringkat antarabangsa iaitu Million Dollar Round Table (MDRT).

Kumpulan AIA merupakan syarikat insurans dengan bilangan ahli MDRT yang tertinggi di dunia dengan lebih 10,000 ahli berdaftar. Jumlah MDRT AIA juga adalah yang tertinggi di Malaysia dengan lebih 500 ahli, yang mana 64 daripada jumlah itu adalah Perancang Hayat AIA PUBLIC Takaful.

Seiring perkembangan teknologi, AIA PUBLIC Takaful turut melabur bagi menyediakan platform digital baharu dalam usahanya untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dan menyokong urusan Perancang Hayat bersama pelanggan.

“Kami melancarkan aplikasi Titik Jualan Interaktif (iPoS) pada 2013 yang membolehkan proses kelulusan permohonan pelanggan menjadi lebih pantas dan dilindungi serta-merta,” katanya.

Antara aplikasi digital lain yang ditawarkan adalah aplikasi mudah alih, MY AIA, e-Claims bagi tuntutan, aplikasi AIA Life Planner dan Ask Sara, kotak sembang digital pertama dunia insurans dan takaful yang diperkenalkan pada 2017.

Semua usaha serta janji jenama yang dibawakan oleh AIA PUBLIC Takaful mempunyai matlamat yang sama, iaitu untuk membantu dan menggalakkan setiap individu hidup lebih sihat, berpanjangan dan bermakna.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 12:37 PM